“Sedih Barang Dibeli Hasil Titik Peluh Dicampak & Dibaling” - Isu Mogok Buat Siti Sarah Kecewa!
08/02/2021 00:20 MYT
Isu sekumpulan pekerja dipercayai daripada syarikat kurier terkenal, J&T Express yang melancarkan mogok masih menjadi topik ‘hangat’.
Video berkenaan mengundang kemarahan ramai apabila beberapa pekerja dilihat mencampakkan barang-barang milik pelanggan di gudang syarikat penghantaran terbabit.
Antara yang turut kecewa dengan tindakan berkenaan adalah penyanyi dan usahawan Siti Sarah Raisuddin.
Kekecewaan itu diluah Sarah menerusi posting terbaru di Instagramnya malam semalam.
“Allah... Mana pergi sifat amanah dan tanggungjawab ketika menjalankan kerja.
“Sarah yang tengok ni pun sedih sangat barang-barang dibeli hasil titik peluh dicampak dan dibaling.
“Kalau ada masalah sekalipun janganlah sampai kita merosakkan barang yang bukan kepunyaan dan hak kita.
“Tapi, mesti ada sebab kenapa mereka bertindak demikian. Apa yang Sarah baca tadi, katanya ada problem sikit dari segi komisyen? wallahualam tak tahu apa cerita sebenarnya,” katanya.
Tambah Sarah, sekiranya ada masalah, perbincangan harus dibuat antara majikan dan pekerja.
“Kesian pembeli yang menanti penuh sabar nak dapat parcel dekat rumah.
“Sarah harap pihak majikan segera ambil tahu isu ini dan sentiasa mengambil maklum masalah dan keluhan pekerja.
“Sarah doakan yg terbaik buat semua. Harapnya barang yang dicampak itu bukan barang @lovetahq.
“Kesian customer Sarah yang tunggu dengan penuh sabar tu,” katanya.
Untuk rekod, syarikat kurier, J&T Express (J&T) telah pun memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan tampil memberi penjelasan mengenai video mogok kakitangan yang tular hari ini.
Menerusi surat terbuka J&T di laman sosial Facebook (FB) mereka, syarikat tersebut turut menjelaskan mengenai penangguhan, pemotongan gaji serta kecurian bungkusan kendalian mereka.
BACA: J&T Mohon Maaf, Dakwa Pekerja Dihasut Untuk Buat Gangguan