Pelakon Syazwan Zulkifly meluahkan rasa kesal terhadap khabar angin yang mendakwa stesen televisyen mementingkan jumlah pengikut di media sosial sebelum menawarkan seseorang artis untuk berlakon.

Jelas Syazwan, perkara itu tidak seharusnya berlaku dan berharap agar jumlah pengikut media sosial bukan pengukur kredibiliti seseorang artis.

"Saya mendapat perkhabaran bahawa saya diboikot oleh stesen televisyen kerana mereka mahukan artis yang ada pengikut di media sosial yang ramai.

"Jadi, saya perli... Saya tanya balik mana nak beli followers kalau itu pengukur untuk saya diambil berlakon sekarang?

"Mungkin orang nak minta kerja sekarang perlu ada diploma atau ijazah, manakala artis pula nak diambil berlakon perlu ada pengikut yang ramai. Kalau ini yang berlaku sedihlah!" katanya kepada Gempak.

Syazwan ketika ditemui pada majlis sidang media Anugerah Skrin 2019 di De.Wan by Chef Wan, Kuala Lumpur baru-baru ini akui pernah diberitakan perkara itu daripada seorang kenalan artisnya.

"Setakat ini situasi (pentingkan jumlah pengikut media sosial) tidak pernah terjadi lagi di depan mata saya dan harapnya ia sekadar berita tidak benar," tambahnya.

Menerusi kemas kini di akaun Twitternya baru-baru ini, Syazwan memerli sesetengah pihak yang kini lebih mengutamakan jumlah pengikut media sosial untuk ditawar bekerja.

"Siapa tahu macam mana nak beli follower? Bak mai bagitahu kedai mana ada jual? Kalau boleh bagitahu harga sekali, satu follower berapa ringgit?

"Pasal ini kerjaya aku kan... Kenalah berkorban sikit. Kena beli pun belilah. Nak kerja ni," tulis Syazwan.