VIRAL

“Sedihnya Abang Selama Ni…” – Kisah Suami Difilemkan Dalam 'Abah Saya Uncle Mike', Isteri Luah Rasa Sebak

Umirah Halim 20/08/2025 | 04:55 MYT
Isteri kepada Rasyid, Hazwani Hanapi meluahkan rasa sebak selepas menonton trailer rasmi filem Abah Saya Uncle Mike yang diinspirasikan daripada kisah benar suaminya bersama dua adik beradik lain.

Menerusi hantaran di platform Threads, Hazwani tidak dapat menahan emosi sebaik melihat visual pertama naskhah terbitan Astro Shaw itu.

“Abang… sedihnya. Speechless saya tengok trailer tadi. Selama ni dengar je suami cerita kisah silam dia. Harini dapat tengok visual, lagilah sedih.

“Tahniah sebab kisah abang terpilih untuk difilemkan. Terima kasih Uncle Mike for everything ❤️ Jumpa di pawagam, 28 Ogos 2025 ☺️,” tulisnya

Filem bergenre drama itu bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos ini.

Kisah benar ini mengangkat kehidupan Michael Tong Wai Siong atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike, seorang lelaki Cina yang membesarkan tiga anak Melayu yatim piatu dengan penuh kasih sayang, bimbingan rohani dan penghormatan terhadap agama Islam.

Dedikasi luar biasa Uncle Mike diiktiraf apabila beliau menerima Anugerah Maulidur Rasul 2024 daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Filem yang mengetengahkan tema kekeluargaan, perpaduan dan kasih sayang merentas bangsa itu dibintangi Andy Teh bersama pelakon muda berbakat, Idan Aedan, Nor Merah dan Umar Shakur.

Menariknya, ia turut menggunakan tiga bahasa iaitu Melayu, Mandarin dan Kantonis.

Sinopsis

Naskhah ini mengisahkan Rafei, anak sulung daripada tiga beradik yatim piatu yang cuba melarikan diri dari rumah anak yatim kejam bersama adik-adiknya. Namun, mereka akhirnya terpisah sebelum dipertemukan dengan Uncle Mike, seorang lelaki berhati emas yang mengubah takdir hidup mereka.

Filem ini membawa mesej bahawa keluarga bukan sekadar pertalian darah, sebaliknya kasih sayang sejati tidak mengenal bangsa dan agama.


#Filem #Isteri #mike #uncle