Filem

Sedutan Novel Kau Yang Satu: Perkahwinan Dilanda Badai, Salina Akur Dengan Dugaan

gempak
Mya Amri
26/07/2017
14:00 MYT
Sponsor Banner
Sedutan Novel Kau Yang Satu: Perkahwinan Dilanda Badai, Salina Akur Dengan Dugaan
Bersempena tayangan filem adaptasi novel ‘Kau Yang Satu’ yang akan menemui penonton bermula 27 Julai ini, Astro Gempak mengimbas kembali beberapa sedutan menarik novel tersebut.
‘Kau Yang Satu’ karya novelis Nia Azalea ini merupakan novel paling laris dan telah diulang catak sebanyak 20 kali sejak novel itu diterbitkan pada tahun 2003.
Kini, kisah cinta tiga segi antara Taufik, Salina dan Zul menerusi novel tersebut telah ‘dijelmakan’ dalam bentuk filem oleh pengarah, Osman Ali.
Menariknya, pemilihan para pelakon untuk filem ini sangat bertepatan dengan karakter-karakter dalam novel tersebut.
Para pelakon yang dimaksudkan adalah Aaron Aziz (Taufik), Izara Aishah (Salina), Hisyam Hamid (Zul) dan Soo Wincci (Isabella).
Untuk meraikan ulang tahun ke 14 novel tersebut, Astro Gempak kongsikan sedutan novel ‘Kau Yang Satu’.
Momen-momen menarik dalam sedutan yang dikongsi ini merupakan pilihan Nia Azalea sendiri.
Sedutan ketiga ini merupakan kisah Salina yang terpaksa menerima hakikat bahawa perkahwinan mereka tidak bahagia.
Prologue
Pergerakan Salina di rumah besar itu sentiasa canggung dan serba tidak kena. Sebagai isteri, dia cuba untuk menjadi yang terbaik. Cuba untuk menawan hati Taufik yang keras bagai patung cendana. Namun, tidak pernah menjadi. Ada saja perkara yang dilakukannya, yang nampak tidak molek di mata Taufik.
Kadang-kala Salina tertanya-tanya di dalam diri sendiri. Adakah dia terlalu mencuba? Adakah dia sebenarnya perlu lepaskan sahaja Taufik? Biar bebas? Biar lepas? Namun, hingga ke saat ini dia tidak pernah punya jawapan terhadap persoalan-persoalan tersebut.
***********************************************
Langkah Salina terus diatur ke tingkat bawah, menuju ke ruang dapur, untuk menyiapkan sarapan pagi. Perutnya yang berkeroncong minta diisi. Dalam kesibukannya di dapur, dia langsung terlupa yang jam semakin berdetik dan Taufik masih belum bangun lagi. Sedang Salina membancuh air teh, dia terasa bulu tengkuknya meremang. Seolah-olah ada sepasang anak mata yang tajam memerhatikannya. Lantas dipusingkan badannya. Sah! Taufik sedang berdiri di muka pintu. Dia dapat mengesan kemarahan Taufik yang bakal meledak. Yang musykilnya, dia tidak tahu apa pula salahnya kali ini. “Errmm…abang nak makan ke? Kejap ya. Ina siapkan air teh dulu.” Lantas, dia berpusing balik. Mengacau semula air teh. Bersungguh-sungguh dia cuba menumpukan perhatian tetapi hatinya terlalu berdebar-debar. Gementar seluruh badan. “Dah pukul berapa sekarang?” Tanya Taufik. Dia kelihatan tenang. “Hah?” Salina terpinga-pinga. Dia mengangkat bahu. Tidak tahu. “Pukul 9.00,” jawab Taufik dengan nada yang masih mengendur. “Kau tahu aku masuk pejabat pukul berapa?” Salina memandang kecut ke arah suaminya. “Hmm…pukul 9.00.” “Dah tu? Apasal tak kejut? Takkan itu pun aku nak cakap?” Akhirnya, kemarahan Taufik meletus. “Ina dah ketuk tadi, tapi abang tak sahut pun.” “Memanglah dah aku tidur. Tak sedar. Gunalah otak tu sikit,” bebel Taufik. “Masuk sajalah kejutkan aku. Kau tahu kan aku tak kunci pintu bilik. Sekarang tengok?” “Tapi…-“ Salina hendak berkata sesuatu, tetapi terhalang. Tergambar di dalam kotak ingatannya, Taufik memarahinya kerana memasuki kamar tidurnya. Private stuff, katanya! Tidak boleh main ceroboh masuk! “Sekarang aku dah lewat. Ada mesyuarat pula tu. Papa mesti mengamuk sakan. Damn it! Ini semua salah kau!” “Ina tak sangka bang. Ina ingat abang bangun sendiri. Macam selalu.” “Lagi-lagi Ina ingat. Lagi-lagi Ina sangka. Apa kau ni tukang tilik ke? Main sangka-sangka. Kalau tak pasti, tanya. Ini tak! Memandai-mandai!” Sembur Taufik lagi, sambil terbongkok-bongkok memakai stoking. “Cubalah buat benda yang tak menyakitkan hati aku,” jerkah Taufik untuk kesekian kali. “Ina minta maaf bang.” Mengalir air mata di pipi Salina. Sejak akhir-akhir ini, hatinya cukup tersentuh. Pantang dimarah, ditengking pasti mutiara jernih gugur dari kelopak matanya. “Maaf! Sikit-sikit maaf. Nak buat tu tak pernah nak fikir dulu,” Taufik masih tidak berpuas hati. Namun suaranya dikendurkan apabila melihat wajah Salina yang sayu. Sedikit-sebanyak hati lelakinya tersentuh.
***********************************************
Jadi jangan lupa untuk menyaksikan filem terbitan Astro Shaw dan Global Station Sdn Bhd yang akan menemui penonton di pawagam seluruh tanah air bermula 27 Julai ini.
Ingin dapatkan edisi terhad Kau Yang Satu, layari Karangkraf.com.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024