Hiburan

"Sehari Saya Mampu 150 Bungkus Sahaja .." - Buat Tepung Pelita Berseorangan, Ika Nabella Tak Menang Tangan Terima Tempahan

gempak
Zulaikha Yusof
19/05/2020
05:25 MYT
Sponsor Banner
"Sehari Saya Mampu 150 Bungkus Sahaja .." - Buat Tepung Pelita Berseorangan, Ika Nabella Tak Menang Tangan Terima Tempahan
Pelakon Ika Nabella tidak menyangka kuih tepung pelita yang dihasilkannya mendapat sambutan yang luar biasa.
Ketika dihubungi Gempak, Ika mendedahkan ini adalah kali pertama dia menyediakan pemanis mulut itu memandangkan suaminya, Muhammad Zaid Aznam sangat menggemarinya.
"Alhamdulillah jualan tepung pelita sangat luar biasa. Kalau nak diikutkan saya tak bercadang langsung nak jual tepung pelita ini.
"Mulanya saya buat sebab suami saya yang nak makan, dia yang keluar pergi beli bahan-bahan. Bila suami suka, dia minta saya buat lagi untuk keluarga besar dia. Semua orang suka dengan tepung pelita saya.
"Lepastu saya mula bagi dekat rakan-rakan artis yang lain antaranya Tya Arifin, Elfira Loy, Ruhainies, Nora Danish, Fasha Sandha, Mimie Haris, Nad Zainal dan ramai lagi sebagai tanda ingatan.
"Sebab bulan Ramadan kali ini kan tak boleh berjumpa, tak boleh buka puasa sama-sama dekat acara.
"Tak sangka mereka kongsikan dekat Instagram (IG). Maklum balas masing-masing cakap sedap dan beri galakan kepada saya untuk mulakan perniagaan tepung pelita," katanya.
Tambah pelakon drama Sein Dan Luna ini, dia akui tempahan tepung pelita setiap hari sangat terhad memandangkan dia berseorangan tanpa pembantu di dapur.
"Hari pertama saya buka tempahan saya dah cakap maksimum 40 bekas. Sekali mesej yang masuk sampai beratus-ratus sehinggakan terpaksa dibawa ke hadapan tempahan itu. Bukan setakat mereka mesej saya, suami saya pun terkena tempias.
"Sehari saya mampu 150 bungkus sahaja. Saya buat seorang diri dengan ada anak kecil yang perlu dijaga. Saya tinggal di kondominium, tak ada nak masak guna periuk besar kat luar," kata Ika.
Dalam pada itu, ibu kepada bayi berusia enam bulan, Muhammad Noah Zayn ini menerima setiap komen daripada rakan artis dan pelanggan sebagai galakan untuk memberikan servis yang terbaik.
"Selain yang puji, ada yang komen cakap cair dan minta saya pekatkan lagi tepung pelita tu. Ada juga bagitau terlampau lembut. Saya terima dan buat penambahbaikan dengan tepung pelita saya.
"Saya suka terima komen sebab setiap hari akan belajar benda baru. Baru tambah rasa yakin untuk jual kepada orang ramai.
"Setiap posting yang beri maklum balas pasal tepung pelita saya akan 'repost'. Itu cara untuk saya bagitau kepada orang yang belum cuba, macam mana rasa dia. Saya nak pengikut tengok dan baca setiap komen yang saya dapat," katanya lagi.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live