Laman Utama
Sejak Aktif Berlakon, Khai Bahar Akui Sudah Kurang Rasa Malu Untuk Berinteraksi Sebagai Penyanyi
Kariernya bermula sebagai penyanyi, atau lebih tepat apabila rakaman nyanyiannya yang dimuat naik di platform Smule viral dalam kalangan netizen.
Sejak itu, nama Khai bahar cukup prominen sebagai seorang pelantun suara. Pelbagai anugerah telah diraih, termasuklah anugerah Top Top MeleTOP (Lelaki) menerusi Anugerah MeleTOP Era 2018 dan 2019.
Pendek kata, keberadaan Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 28, dalam industri muzik tempatan diterima dengan positif oleh peminat.
Menyaksikan kejayaannya dalam bidang nyanyian terus mekar membunga, Khai mula beralih ke bidang lakonan, dengan melibatkan diri dalam beberapa drama bersiri dan juga telefilem.
Bagaimanapun, mungkin ada yang tidak tahu bahawa percubaannya terjun ke bidang lakonan berjaya menghilangkan rasa malunya yang sejak dahulu bersarang dalam diri.
“Kalau nak dibandingkan ketika awal kemunculan saya enam tahun lalu, saya lebih berkeyakinan pada masa kini. Hal ini banyak dibantu selepas saya menceburkan diri dalam bidang lakonan.
“Apabila berada di set, saya banyak berborak dan bergaul dengan kru di lokasi. Hal sebegini membuatkan saya lebih terbuka dan ia banyak membantu saya menghakis rasa malu.
“Jujurnya, saya memang pemalu, keluarga pun tahu saya pemalu. Tetapi sejak akhir-akhir ini, saya ada rasa perubahan yang agak ketara dari segi perbualan dan komunikasi. Saya pun tak lagi segan kalau nak berborak dengan kawan baharu,” katanya.
Khai berkata demikian ketika ditemui pada Anugerah Joox Top Music 2021 yang berlangsung di ibu kota baru-baru ini.
Menerusi penganjuran anugerah berkenaan, Khai merangkul dua trofi iaitu Top Hit: Lokal menerusi lagu Sengsara serta Top 5 Artis: Lokal.
Khai muncul sebagai bintang sensasi pop Malaysia dan mengekalkan penguasaan dalam kategori berkenaan selama dua tahun berturut-turut.
Selain Khai, Turut berada dalam senarai penerima anugerah Top 5 Artis: Lokal ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ukays, Haqiem Rusli serta kumpulan XPDC.
Melanjutkan bicara mengenai anugerah yang diterima, Khai berkata, pengiktirafan tersebut membuatkannya lebih bersemangat untuk terus bekerja dan memberikan yang terbaik kepada peminat dan juga industri.
“Jika kita lihat, banyak platform media sosial baharu muncul seperti TikTok. Saya sendiri menggunakan medium berkenaan untuk mendekatkan diri dengan pengikut. Seronok sebenarnya dapat berinteraksi dengan peminat dan bertukar-tukar pendapat menerusi video yang dikongsikan,” ujar Khai lagi.
Must-Watch Video