Usahawan terkenal, Datin Vivy Yusof meraikan ulang tahun pertama sebagai ahli lembaga pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) semalam.



Menurut Vivy, meskipun ramai yang merasakan dia tidak layak memegang jawatan itu pada permulaan, namun dia telah menjadikan perkara itu sebagai pembakar semangatnya.

"Perkara ini tidak akan berlaku tanpa cabaran, sejak hari pertama pelantikan saya, ramai yang mahu saya keluar kerana saya terlalu muda dan bukan alumni.

"Tanggapan itu telah menjadi pembakar semangat saya, terutamanya apabila saya mendapat sokongan daripada para pelajar sendiri, staf dan rakan ahli lembaga pengarah lain, saya memang tak boleh berputus asa," tulis Vivy di ruangan Instagram Story.



Tambah Vivy, fokus utamanya adalah kebajikan pelajar dan keusahawanan.

"Matlamat saya adalah untuk menjaga kebajikan pelajar dan keusahawanan, saya ambil masa berbulan-bulan untuk mempelajari inisiatif yang sedia ada.

"Sekarang saya bersedia untuk melaksanakan inisiatif kepada ketua-ketua fakulti, namun tiba-tiba krisis COVID-19 melanda.

"Saya tak sabar tunggu keadaan kembali normal, Kak Vivy ada rancangan yang mengujakan untuk UiTM!" tulisnya lagi.



Terdahulu, Vivy telah dilantik secara rasmi sebagai ahli lembaga pengarah UiTM pada 26 Mei 2019 dan telah menerima banyak ucapan tahniah daripada rakan selebriti termasuklah Datuk Seri Siti Nurhaliza.