Laman Utama
“Sejak Kecil Minat Bantu Memasak” - Handal Di Dapur, Cef Cilik Ini Baru Berusia 2 Tahun 6 Bulan!
Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kalau dah sedari kecil sudah minat bidang masakan, chef cilik ini selayaknya mendapat perhatian wargamaya.
Si cilik Syazwi Nufail Syazwan yang kini berusia dua tahun enam bulan sudah handal ke dapur dan boleh memasak pelbagai jenis masakan.
Ibu kepada Syazwi atau lebih kenali sebagai Chef Wi, Nurul Nazireen Khazali berkongsi tips dan pengalaman minat anaknya terhadap bidang masakan.
“Pastikan anak-anak faham apa itu bahaya. Bila berada di dapur, kita terdedah dengan pelbagai jenis bahaya seperti minyak panas, terpecik dan sebagainya. Sentiasa awasi anak anda.
“Sediakan kerusi atau peralatan yang sesuai. Untuk kerusi memasak Syazwi, saya beli dengan ig: dinamitoys.
“Untuk peralatan tajam seperti pisau, ibu bapa lebih tahu keupayaan anak-anak. Mulakan dengan pisau plastik terlebih dahulu. Jika anak sudah pandai mengawal baru bertukar ke pisau yang lebih 'advance'. Syazwi menggunakan pisau dari Ikea.
“Jangan paksa anak jika mereka tidak minat. Syazwi sejak kecil memang minat untuk membantu. Dia terasa sangat dihargai bila saya masak dan panggil dia untuk turut serta,” tulis Nazireen menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu, Nazireen turut berkongsi kebaikan jika anak-anak terdedah kepada aktiviti yang mereka minati pada usia yang awal.
“Antara kebaikan apabila anak-anak turut serta dalam aktiviti memasak, mereka belajar benda baharu. Selain itu dapat kenal nama bahan-bahan dan sayur-sayuran yang digunakan. Aktiviti memasak ini juga adalah kemahiran yang dapat membantu anak-anak di masa hadapan mereka (survival skills). Aktivti memasak tidak hanya terhad kepada anak perempuan.
“Lumrah anak-anak ialah meneroka dan mencuba benda baharu. Kita sebagai ibu bapa perlu yakin dan percaya pada anak namun pada masa yang sama juga perlu meletakkan had pada mereka,” jelasnya lagi.
Namun perkongsian Nazireen ini mendapat reaksi yang bercampur-baur daripada wargamaya yang merasakan aktiviti masakan itu boleh mendatangkam bahaya pada anak-anak.
“Banyakkkkkk lagi benda boleh ajar. Ni kalo saya la sebab bila sekali ajar, diorang akan buat sendiri tanpa pantauan. Time ibu solat ke, mandi ke, solat ke, malang tak berbau,” komen seorang wargamaya.
“Memang bagus ajar dari Kecik. Tapi banyak bahaya budak masih leka. Bagi saya memang tak benarkan. Setiap ibu caranya berbeza. Apa pon kamu terbaik la dik,” sokong seorang wargamaya.
“Ish, tak sesuai lagi. Benda kecil aje contoh kerusi terbalik pun boleh bawa musibah yang besar. Menyesal seumur hidup dik oi,” kata seorang wargamaya.
“Tak perlu kot. Apa yang nak dibuktikan budak kecik pandai masak? Tak buktikan apa-apa. Lebih kepada bahaya pengendalian alatan memasak sewaktu di dapur,” komen seorang wargamaya lagi.
Kredit foto: Nurul Nazireen Khazali
Must-Watch Video