Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Sejauh Mana Anda Berpengetahuan Tentang Pelaburan Dalam Pasaran Saham? Kolaborasi Multiply & Bursa Malaysia Boleh Bantu Anda Cari Jawapan!

Asraf Aided
12/05/2021 12:10 MYT
Sejauh mana anda faham tentang pelaburan dalam pasaran saham? Anda biasa dengar istilah ‘akaun pembrokeran’? Tahukah anda bagaimana untuk menilai perolehan sesaham, bagaimana dividen dibayar dan apa perbezaan antara pasaran ‘bull’ dan ‘bear’?

Kalau semua ini menjadikan anda keliru, tak mengapa. Kini ada berita baik untuk anda.

Dalam usaha untuk mempertingkatkan tahap kecelikan kewangan masyarakat, Multiply kini menjalin kerjasama dengan Bursa Malaysia Berhad untuk membantu warga Malaysia memahami asas pelaburan dalam pasaran saham supaya mereka dapat menceburi aktiviti tersebut.

Kolaborasi ini bertujuan untuk meningkatkan kebolehan warga Malaysia membuat keputusan yang berpengetahuan berkenaan pelaburan.

“Kami telah mendengar pengalaman warga Malaysia menguruskan kewangan peribadi mereka dan kami dapati ramai yang berminat untuk melabur. Dalam satu tinjauan yang telah kami lakukan baru-baru ini, 25% daripada lebih 1,000 responden mengatakan bahawa sasaran kewangan mereka yang paling utama untuk tahun 2021 ialah untuk melabur dan mengembangkan wang mereka.

"Sementara itu 25% daripada responden juga mengatakan bahawa kebimbangan mereka yang paling ketara tahun ini adalah tentang di mana mereka patut melabur, memandangkan sekarang ini kadar faedah adalah rendah.

“Pada masa yang sama, ramai juga rakyat Malaysia yang tidak meneruskan hasrat untuk melabur kerana mereka tak pasti di mana hendak bermula dan mereka juga takut kehilangan wang mereka.

"Maka, kami menjalin kerjasama dengan Bursa Malaysia untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti yang seronok dan interaktif, untuk membantu mereka memahami cara melabur dalam saham dan bagaimana untuk membuat keputusan pelaburan yang bijak supaya mereka dapat membina keyakinan dalam bidang pelaburan saham,” kata Dr. Shobana Sivanendran, Pengurus Kanan Program di Creador Foundation, Dr. Shobana Sivanendran.

Untuk makluman, Creador Foundation merupakan sebuah badan bukan untung yang mengendalikan Multiply.

Multiply ialah satu inisiatif celik kewangan yang bertujuan memberikan pendidikan yang percuma dan boleh dipercayai kepada warga Malaysia tentang kewangan peribadi.

Kandungan Multiply boleh diakses di pautan multiply.org.my dan juga beberapa platform media sosial tertentu.

Sementara itu, Pengarah (Pasaran Sekuriti) Bursa Malaysia, Azhar Zabidi menambah, Bursa Malaysia sentiasa memastikan pelabur runcit celik kewangan sebagai langkah pertama yang penting.

“Di Bursa Malaysia, memastikan pelabur runcit celik kewangan adalah langkah pertama yang penting untuk mengekalkan aktiviti perdagangan runcit. Ini membuka jalan untuk keputusan pelaburan berpengetahuan yang meningkatkan kualiti pelaburan sambil melindungi pelabur.

"Untuk mencapai matlamat ini, kami bekerjasama dengan rakan kongsi pilihan kami untuk menjalankan pelbagai acara dan kempen yang membantu meningkatkan kesedaran mengenai pelaburan pasaran saham melalui platform seperti Bursa Marketplace.

“Aktiviti-aktiviti ini memberi para pelabur alat dan pengetahuan asas yang diperlukan untuk membolehkan mereka membuat keputusan yang baik ketika mereka melabur, memastikan pasaran yang mampan dalam jangka masa panjang," katanya.

Sebagai sebahagian daripada kolaborasi mereka, Multiply dan Bursa Malaysia telah melancarkan Peraduan My Market (https://www.bursamarketplace.com/mymarket-contest/) untuk mempromosikan segmen My Market di Bursa Marketplace (https://www.bursamarketplace.com/index.php). Peraduan ini terbuka sehingga 4 Julai 2021.

Kredit Foto: Business Today

#Pelaburan #Multiply #Bursa Malaysia #Saham