Hiburan
"Sekarang Baru Saya Tahu Siapa Kawan Siapa Lawan" - Zynakal
Penyanyi Zynakal akui dia kini lebih mengenali siapa kawan dan siapa lawan selepas melalui 'detik hitam' dalam hidupnya, 28 Ogos tahun lalu.
Menurut Zynakal, bukan hanya ditahan polis kerana mengasari seorang pekerja stesen minyak, dia juga berdepan dengan masalah mental dikenali sebagai bipolar mania.
"Bila dah jadi macam ni barulah saya nampak perangai masing-masing. Tidak berkawan dengan saya itu hak mereka, setiap orang ada hak.
"Mungkin mereka rasa saya bukan kawan mereka, tak mengapa. Untuk yang masih kekal dengan saya, Alhamdulillah," katanya.
Tambah Zynakal, dia juga akui kesilapan yang dilakukan tahun lalu disebabkan kesalahan diri sendiri.
"Memang saya menyesal sangat dengan kesilapan tahun lalu. Ketika itu saya cuba kejar impian, tapi semuanya hancur disebabkan kesalahan diri," katanya.
Zynakal ditemui ketika sidang media pelancaran lagu terbaru berjudul Sakit di pejabat Indigital Music, Damansara Perdana, hari ini.
Lagu berkenaan hasil kolaborasi Zynakal bersama rakannya, Yonny Boii.
Sudah dua minggu dimuat naik di YouTube, lagu Sakit hingga kini telah menerima sebanyak 3.8 juta tontonan.
Terdahulu, Zynakal mencetuskan kontroversi apabila mencekik seorang pekerja stesen minyak dan menghalang tugas anggota polis.
Akibat tindakannya itu, dia telah didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ampang Kuala Lumpur.
Susulan daripada itu juga, Zynakal dihantar untuk mendapatkan rawatan di wad psikiatri Hospital Kuala Lumpur.
Penyanyi yang popular dengan lagu Terbang itu juga disahkan menghidapi penyakit bipolar mania iaitu salah satu penyakit gangguan mental.
Antara simptom penyakit tersebut adalah berhalusinasi, perwatakan yang berubah-ubah, terlebih aktif dan kurang tidur.