Aktor popular, Fattah Amin mendedahkan dia bakal menjadi seorang produser bagi sebuah filem terbaru tahun depan.

Menurut Fattah, buat mereka yang mengenalinya sebelum ini pasti tahu yang dia mempunyai latar belakang dalam bidang tersebut.

“Sesiapa yang kenal saya sebelum ni pasti tahu yang saya belajar bidang production management ni. Jadi minat untuk hasilkan fiilem sendiri tu sentiasa ada.

“Jadi bila ada peluang ni saya terus ambil dan sekarang hanya tinggal proses untuk memantapkan skrip saja,” katanya.

Jelasnya, dia juga turut terlibat dalam pembikinan skrip memandangkan jalan cerita filem tersebut merupakan hasil ideanya sendiri.

“Yup original story tu dari saya jadi mestilah saya pun terlibat sama dalam skrip. Genre filem ini adalah psycho thriller dan saya turut sama berlakon.

“Barisan lain tu saya rahsiakan dulu, Insya-Allah tahun depan saya umumkan,” katanya.

Fattah berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan gala filem Miimaland baru-baru ini.

Miimaland mengisarkan mengenai sekumpulan individu yang terpaksa membuat penggambaran di sebuah taman tema selepas menerima satu projek.

Taman tema yang dibuka sejak 1971 itu dibiarkan terbengkalai selepas berlakunya tanah runtuh pada tahun 1994.

Walaubagaimanapun, pelbagai pengalaman misteri dan insiden seram berlaku sepanjang penggambaran dibuat.

Selain Fattah, Miimaland turut dibintangi Sophia Albarakbah, Camelia Natasya kmn, Hazzy Alzeeq dan Zalif Sidek.

Filem arahan Nevin Hiong ini bakal ditayangkan bermula hari ini.