HIGHLIGHTS
Sekarang Masanya Untuk Jaga DIRI SENDIRI – Ada PKP Atau Tak, Patuhi Saja SOP Demi Perjuangan RAKYAT.
Apa nak buat semua dah terjadi. Mahu diamuk pun, segalanya telah berlalu dan berlaku, tak mungkin dapat diundur masa. Malah, virus yang berteriakan pun tak mungkin dapat dipujuk keluar. Yang penting kini, bukan lagi salah menyalahkan antara satu sama lain tetapi memandang ke depan tentang bagaimana untuk mengelakkan diri menjadi mangsa Covid-19?
Walaupun kerajaan tidak lagi mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti sebelumnya, namun sebagai rakyat yang bertanggungjawab dan berilmu, marilah kita memupuk kesedaran dalam diri sendiri untuk terus berjuang menentang Corona virus ini. Kita tidak lagi boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata dengan mengharapkan kerajaan melakukan PKP seperti sebelumnya.
Kembalikan ketakutan dan sikap hati-hati kita seperti pada awal penularan wabak Covid-19 tempoh hari. Walaupun dibenarkan ke sana ke sini dan melakukan rutin harian seperti biasa, ia bukan bermakna kita berada di zon selamat dan selesa. Virus ada di mana-mana, cumanya tiada lagi desakan duduk di rumah oleh pihak berkuasa.

Kredit Foto: Google
Jika Tiada Keperluan, Duduk Saja di Rumah
Kerajaan membenarkan rakyat keluar adalah sebagai satu cara mengerakkan ekonomi negara dan bukannya petanda virus sudah pergi. Maka, tolonglah gunakan kebebesan yang ada dengan cara lebih berhemah dan mengikut keperluan. Jika masih boleh bekerja dari rumah, teruskan berada di rumah seperti detik kita dikenakan PKP dulu.
Hanya keluar untuk keperluan penting seperti membeli barang asas, menyelesaikan urusan penting dan menghadiri tugasan yang tidak boleh dibuat secara digital. Hakikat kehidupan normal baharu ini perlu difahami betul-betul. Walau kempen menangani Covid-19 sekarang ini tidak seligat dulu, tetapi kehidupan normal baharu masih perlu diteruskan sehingga vaksin ditemui.
Teruskan SOP Demi Keselamatan Diri dan Negara
Seperti yang sudah selalu dilaungkan, teruskan SOP walau di mana kita berada. Cuci tangan sekerap mungkin, pakailah penutup mulut dan hidung ketika berada di khalayak umum dan jaga penjarakan sosial. Elakkan ke tempat yang dikerumuni orang. Jika ada majlis besar, usahalah untuk dipinda seketika.
Jangan lupa untuk berlaku jujur dengan mendaftarkan diri di aplikasi MySejahtera setiap kali mengunjungi mana-mana premis. Elakkan makan di kedai makan. Sebaiknya, bungkus saja dan makan di rumah. Yang lebih afdalnya, masak sajalah di rumah seperti yang kita amalkan di awal PKP tempoh hari.
Sama-samalah kita jaga kepentingan kita bersama. Seperti yang kita tahu, perjuangan ini tak mungkin berjaya jika tidak dilakukan bersama-sama seluruh rakyat. Kita mesti bersikap ‘patrotik’ untuk isu ini. Lupakan fahaman politik, agama dan sebagainya. Ayuh, rakyat Malaysia, mari kita berjuang dengan cara kita sendiri, tanpa disulami kepentingan peribadi tapi menerusi SOP yang pasti!

Kredit Foto: Google