Bintang kelahiran program realiti Akademi Fantasia, Marsha Milan kekal positif biarpun sering ditanya mengenai soal anak.

Mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail pada 31 Disember 2015, Marsha mengakui dirinya sudah lama bersedia.

"Soal anak, saya dan suami memang tak buat sebarang perancangan. 'Anytime' sahaja, kami memang sudah bersedia.

"Saya terus optimis dan selalu berdoa kepada Allah. Mungkin belum rezeki kami untuk dikurniakan cahaya mata. Keluarga juga memahami.

"Saya juga memohon doa yang baik-baik dari peminat. Mana tahu, ada rezeki saya dan suami nanti. Buat masa sekarang, cuma ada nasi sahaja dalam perut saya," seloroh Marsha.

Dalam perkembangan terbaru, Marsha kini sedang mempromosikan lagu Sumandak Sabah, duet bersama Velvet.

"Lagu ini kami persembahkan buat kali pertama ketika Konsert Marsha & Velvet Live in Kota Kinabalu baru-baru ini. Alhamdulillah, lagu ini mendapat sambutan yang baik.

"Saya berharap lagu ini akan dapat menjadi lagu rakyat yang diingati seperti lagu Anak Kampung serta dapat meningkatkan lagi semangat anak-anak Sabah sempena Pesta Kaamatan yang bakal disambut hujung bulan ini," katanya ketika ditemui di majlis rakaman Rumah Terbuka Akademi Fantasia (AF) 2018 baru-baru ini.

"Saya rasa seronok kerana dapat berkumpul denagn ramai pelajar AF bermula dari AF musim pertama sehingga AF2016. Majlis sebegini dapat merapatkan ukhwah kami serta menguatkan jalinan yang dibina," kata Marsha.

Diacarakan oleh Datuk Aznil Haji Nawawi, Rumah Terbuka AF 2018 yang turut dihadiri bekas pengetua, tenaga pengajar, bekas pengacara dan ramai lagi ini akan ditayangkan Astro Ria (104), Astro Ria HD (123) dan Astro Raya HD (122) pada Hari Raya Kedua (16 Jun) pada jam 2.30 petang.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Marsha