Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Sekatan Jalan Raya Dikurangkan Bukan Bermakna Tiada Tindakan Daripada PDRM!

Fiza Kamarudin
04/05/2020 15:37 MYT
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa hari ini, turut menyaksikan sekatan jalan raya dikurangkan.

Walaupun sekatan jalan raya dikurangkan, ini tidak bermakna Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang enteng terhadap penguatkuasaan PKPB kerana individu yang ingkar terhadap peraturan sepanjang tempoh PKPB, masih boleh dikenakan tindakan undang-undang seperti PKP sebelum ini.

Dengan pelaksanaan PKPB, PDRM akan membuat penstrukturan semula operasi sekatan jalan raya dengan sekatan hanya dilakukan di lokasi tertentu, selain tumpuan kepada pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP), selain operasi pencegahan jenayah dan kawalan sempadan.

Tinjauan di seluruh negara mendapati sekatan jalan raya memang dikurangkan dengan kenderaan mula memenuhi jalan, terutama di ibu negara dan ibu negeri, berikutan kebenaran untuk sektor perniagaan serta pengangkutan awam beroperasi mulai hari ini.

Namun, pergerakan kenderaan dilihat lancar.
Di Kelantan, Ketua Polis Negeri, Datuk Hasanuddin Hassan sebelum ini menetapkan sebanyak 36 lokasi sekatan jalan raya namun setelah PKPB berkuat kuasa, sekatan dikurangkan kepada 19 sahaja dengan anggota yang sebelum ini bertugas dalam sekatan jalan raya melaksanakan tugasan ronda cegah jenayah pula.

Perkara sama turut dilaksanakan di Terengganu dengan jumlah sekatan jalan raya di negeri itu berkurangan kepada 20 berbanding 49 sebelum ini, dan polis kini lebih memberikan tumpuan memperketat kawalan dan pemantauan di kawasan tumpuan awam bagi memastikan SOP keselamatan seperti jarakan sosial diamalkan.

Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik, berkata pihaknya terus memperketat kawalan di setiap pintu sempadan negeri termasuk 'lorong-lorong tikus' dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Nerus bagi mengelak wujudnya kluster COVID-19 dari luar Terengganu.

"Saya telah arahkan kepada petugas untuk membuat pemeriksaan yang cukup ketat dan rapi. Sekiranya tidak mempunyai sebarang surat atau tujuan yang kukuh, orang dari luar tidak boleh masuk ke Terengganu supaya tidak ada kluster import baharu," katanya.

Bagi Pulau Pinang, Ketua Polis Negeri, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata sekatan jalan raya dikurangkan dari 44 kepada 24 dengan tumpuan di kawasan sempadan bagi memastikan orang ramai tidak melakukan perjalanan rentas negeri tanpa sebab atau alasan kukuh.

Polis Selangor turut memberi tumpuan kepada penguatkuasaan amalan penjarakan sosial dalam kalangan masyarakat semasa pelaksanaan PKPB.

Jurucakap Khas Op COVID-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew, berkata pasukan keselamatan itu akan mempergiat rondaan dan pemeriksaan, terutama di tempat tumpuan ramai seperti pusat membeli-belah, pasar raya dan tempat rekreasi serta kilang.

Polis Kuala Lumpur pula menubuhkan pasukan pemantau bagi memastikan SOP Kementerian Kesihatan, terutama amalan penjarakan sosial sentiasa diutamakan masyarakat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata pasukannya akan memantau masyarakat sepanjang pelaksanaan PKPB yang bermula hari ini dan akan memberi nasihat serta amaran kepada orang ramai di kawasan tumpuan supaya masyarakat tidak berkumpul.

Di Johor pula, Ketua Polis Negeri, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya sudah mempersiapkan pasukan pemantauan bagi menggiatkan rondaan, khususnya dalam memastikan pihak industri dan sektor yang dibenarkan beroperasi mematuhi SOP ditetapkan.

"Kita juga akan memindahkan anggota yang terlibat dengan sekatan jalan raya ke daerah-daerah yang ada pesisiran pantai bagi memantau aktiviti penyeludupan migran di bawah Op Pintas Bersepadu Selatan," katanya.

Berita/Foto: BERNAMA

#PDRM #COVID-19 #PKPB
;