Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Berita

"Sekiranya Ke Final Siti Nak Nyanyi, Pihak Produksi Tiada Masalah" – Penyanyi Lain Bakal Bawakan Anta Permana di Separuh Akhir Muzik-Muzik 34

Kamaruddin Razal 07/11/2019 | 02:50 MYT
Lagu Anta Permana yang berjaya mara ke peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 tidak akan dinyanyikan oleh penyanyi asal, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Perkara itu disahkan penerbit eksekutifnya, Nurhul Huda Khalid yang memberitahu lagu itu akan dinyanyikan oleh penyanyi lain.
"Bagi separuh akhir nanti, memang sah bukan Siti yang nyanyi. Lagu itu akan dibawakan oleh penyanyi lain. Pihak kami pun tidak tahu siapa lagi pengganti itu.
“Bagaimanapun, pihak produksi tidak akan membuat sebarang kenyataan berhubung hal berkenaan. Hal tersebut kena tanya dengan pihak Universal Music dan pihak komposer, Hael Husaini dan Ezra Kong kerana mereka yang putuskan," katanya.
Huda berkata demikian pada sidang media Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 yang berlangsung di Bangsar, Kuala Lumpur semalam.
Dalam pada itu, kata Huda, pihaknya juga tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya penyanyi nombor satu negara itu berubah fikiran untuk menyanyikan lagu tersebut sendiri jika mara ke Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34).
"Walaupun semi final orang lain nyanyi, tetapi sekiranya ke final, Siti mahu menyanyi, pihak produksi tiada masalah.
"Lagipun sebelum ini pernah juga berlaku apabila lagu Faizal Tahir ketika separuh akhir penyanyi lain bawa, manakala di AJL dia nyanyi sendiri," katanya.
Anta Permana merupakan antara 30 buah lagu yang bakal berentap di Separuh Akhir Muzik-Muzik bermula 15 November ini.
Sebelum ini, penyanyi berusia 40 tahun itu pernah menyebut nama Ernie Zakri sebagai individu yang berjaya membawa lagu itu dengan baik.
Kali terakhir Siti beraksi di pentas AJL adalah pada tahun 2007 menerusi lagu Destinasi Cinta.
#Penyanyi #Siti Nurhaliza #Penyanyi
;