Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju memberi cuti tambahan kepada semua sekolah di seluruh negara pada 19 April sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika mengumumkannya hari ini berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkan guru dan ibu bapa terutama yang bertugas di negeri lain, merentas negeri untuk pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Dengan ini pada 19 April, KPM mengisytiharkan cuti khas untuk semua warga KPM… jadi untuk hari itu tiada sekolah.

“Kita ambil kira semua pandangan dan untuk kesejahteraan guru-guru warga KPM urus perjalanan pulang ke kampung,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah dan Forum Integriti KPM seperti dilaporkan BERNAMA.

Berdasarkan kalendar akademik Sesi 2023/2024 KPM, cuti persekolahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi negeri kumpulan A dan B adalah bermula pada 20 April (Khamis).

Sementara itu media sebelum ini melaporkan tarikh bagi melihat anak bulan Syawal bagi tahun ini ditetapkan pada petang Khamis, 20 April 2023 bersamaan 29 Ramadan 1444 Hijriah dan pengisytiharan tarikh Hari Raya Puasa akan diumumkan pada malam berkenaan.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, Majlis Raja-raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Negara sempat ‘kecoh’ apabila kenyataan Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bahawa negara-negara Islam kebanyakannya akan menjalankan kewajipan mencerap hilal bagi menentukan awal bulan Syawal pada 20 April 2023 yang berkemungkinan menjadi penghujung Ramadan 1444H.