Akhirnya! Sekuel filem animasi Spider-Man terbitan Sony Pictures "Into the Spider-Verse" bakal muncul di pawagam dua tahun lagi.

Menurut laporan Astro Awani, pengumuman itu dibuat sendiri penerbit dan penulis filem Christopher Miller menerusi muat naik di akaun Twitter.

Filem "Spider-Man: Into the Spider-Verse 2" dijangka ditayangkan pada 8 April 2022.

Walaupun tarikh tayangannya masih jauh, peminat filem adiwira ini nyata teruja.

"Spider-Man: Into the Spider-Verse" merupakan antara filem spin-off 'Spider-Man' terbitan Sony yang mencipta kejayaan besar.

Ia terbukti apabila berjaya mengutip lebih AS$375.5 juta di seluruh dunia dan turut merangkul anugerah Filem Animasi Terbaik di Oscars serta Golden Globes.

Walaupun masih belum ada sebarang butiran lanjut mengenai sekuel ini, ramai mengharapkan agar Shameik Moore dan Hailee Steinfeld kembali memainkan watak masing-masing sebagai Miles dan Gwen.

Selain Moore dan Steinfeld, "Into the Spider-Verse" dibantu Brian Tyree Henry sebagai bapa Miles Jefferson Davis, Luna Lauren Velez sebagai ibu Miles Rio Morales dan Kathryn Hahn sebagai Dok Ock.

Menurut sumber, pengarah bersama filem berkenaan iaitu Rodney Rothman mendedahkan bahawa watak Doc Ock akan dikembangkan menjadi lebih besar pada sekuel ini.

"Akhirnya, kita dapati bahawa filem itu dimainkan dengan baik dan ia tidak menghampakan kami.

“Liv (Olivia 'Liv' Octavius) tidak akan keluar dari jalan cerita ini, dan ia sememangnya watak penjahat paling kuat, malah dia boleh memanipulasikan banyak perkara untuk mencapai cita-citanya sendiri,” kata Rothman.

Sumber: Astro Awani