Penularan wabak COVID-19 yang makin meningkat terutama di Malaysia, tidak menghalang untuk filem Bulan & Pria Terhebat ditayangkan pada 12 Mac ini.

Penerbitnya, Ketua Pegawai Eksekutif Nizra Entertainment, Nik Iruwan Datuk Nik Izani berkata risiko itu diambil selagi panggung wayang di seluruh Malaysia masih dibuka.

“Kami mengambil keputusan untuk meneruskan tayangkan filem ini meskipun kami sedari wabak ini sudah makin meningkat di Malaysia.

“Pada saya selagi panggung tak tutup dan masih dibuka saya rasa tiada masalah untuk teruskannya kerana saya percaya pihak panggung wayang juga akan mengambil langkah berjaga-jaga seperti penggunaan sanitizer dan sebagainya.

“Pun begitu, kami akan terus-menerus membuat pemerhatian dan lihat bagaimana isu wabak ini memberi kesan kepada jumlah tontonan orang ke panggung.

“Jika tiada halangan saya harap ia akan ditayangkan mengikut perancangan,” katanya kepada Gempak.

Nik Iruwan ditemui selepas Malam Gala Filem Bulan & Pria Terhebat yang diadakan di MBO The Starling, malam tadi.

Tambah Nik Iruwan lagi, dia percaya tiada masa yang tepat untuk menayangkan filem dengan keadaan industri filem sekarang.

“Perancangan sudah dibuat lama dan ia melibatkan nama-nama produksi yang besar di Malaysia, jadi untuk menangguhkannya itu satu perkara yang serius.

“Lagipun saya percaya jika kita tangguhkan sekalipun, pasti tiada masa yang sesuai untuk ditayangkan kerana dari segi aspek lain kita perlu memikirkan persaingan filem antarabangsa pula.

“Walau bagaimana pun saya percaya filem ini akan mendapat sambutan kerana kualiti yang kami tampilkan.

“Namun saya masih mengharapkan sokongan rakyat Malaysia kepada filem kami,” katanya lagi.

Bulan & Pria Terhebat yang diterbitkan bersama oleh Astro Shaw, Nizra Entertainment dan Skop Production itu dibintangi oleh Zahirah Macwilson, Maya Karin, Khir Rahman, Zizan Razak, Alif Hadi, Bell Ngasri, Didie Alias, Aprena Menrose, Sein Qudsi, Rashid Ishak dan ramai lagi.

Filem hebat yang diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar ini bakal menemui penonton pada 12 Mac ini.

Secara ringkas Bulan & Pria Terhebat mengisahkan Bulan (Zahirah Macwilson) merupakan pelatih di dalam pasukan tentera khas Indonesia menyeludup masuk ke dalam sindiket pemerdagangan manusia bagi mencari adiknya, Melati yang telah diperdaya dan dibawa ke Malaysia untuk dijadikan gadis liburan.

Bulan bertemu Haris (Zizan Razak), seorang pemandu e-hailing yang prihatin dan sudi membantu Bulan mendapatkan kembali adiknya dari genggaman bapa ayam, Agus dan ketuanya, Ricky. Ricky mengarahkan Tony, seorang pembunuh upahan untuk menghapuskan Bulan dan Haris.