Penyanyi Wany Hasrita punyai pendirian sendiri untuk tidak mendedahkan identiti jejaka yang berjaya menambat hatinya.

Akui sedang melalui fasa percintaan, jelas Wany terlalu awal baginya untuk bercerita lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

"Yang saya boleh cakap, saya tak kahwin tahun ini. Kami dalam proses mengenali hati budi seperti kata pepatah berkawan biar ramai tapi berkasih biar satu.

"Selagi belum ada tarikh atau kad kahwin saya tak mahu komen apa-apa.

"Kami berkenalan sejak 2010 dan dia bukan peminat saya pun. Cuma baru-baru ini saja kami membuat keputusan untuk lebih serius," katanya kepada Gempak.

Wany yang ditemui pada pertunjukan fesyen Rico Rinaldi di GMBB Kuala Lumpur menegaskan dia perlu menghormati individu tersebut sebelum memberikan kenyataan yang boleh menjerat diri.

"Kami sebaya dan saya perlu hormati kedua-dua bela pihak sebelum keluarkan apa-apa kenyataan lagi.

"Tetapi sesiapa yang mengikuti perkembangan saya di Instagram akan tahu siapa identiti lelaki itu," tambahnya.

Dalam perkembangan terbaru, Wany bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Canggung ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong.