Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

"Selagi Tidak Diubah, Selagi Itulah Kami Tidak Beroperasi" - Peniaga Pasar Malam Tidak Puas Hati SOP Baru?

Hanafis Haris 17/06/2020 | 06:29 MYT
Selepas diminta tutup selama lebih tiga bulan akibat pandemik COVID-19, pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam dan bazaria kembali dibenarkan beroperasi.
Pembukaan semula pasar terbabit tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Biarpun ramai peniaga yang menyambut baik pengumuman tersebut, namun terdapat segelintir penjaja dan peniaga pasar malam meluahkan rasa tidak puas hati mereka berkenaan SOP ditetapkan.
Menerusi laporan Bernama, seramai 500 penjaja dan peniaga Pasar Malam Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) memilih menangguhkan dahulu pembukaan semula perniagaan susulan SOP yang terlalu ketat.
Menurut Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong TAR, Azkhalim Suradi, pihaknya berpendapat SOP itu perlu dikaji semula kerana tidak munasabah untuk dilaksanakan ke atas pasar malam.
"Berdasarkan SOP, selain jarak sosial sejauh 1.5 meter antara gerai-gerai berukuran lapan meter persegi, pengunjung juga dilarang membawa kanak-kanak bawah 13 tahun dan warga emas berumur 60 tahun ke atas tidak digalakkan berkunjung ke pasar malam.
"Selain itu, kebanyakan pasar malam tidak sesuai untuk dipagarkan kerana keluasan yang terhad. Jika jarak sosial dipraktikkan sebahagian besar penjaja dan peniaga tidak dapat berniaga kerana bilangan gerai yang terhad," katanya.
Tambahnya, penjaja dan peniaga pasar malam juga mungkin terpaksa menanggung kerugian berikutan jumlah pelanggan yang terhad.
"Dengan SOP sedemikian, kami rela menangguhkan dahulu operasi pasar kami.
"Selagi tiada SOP yang dipersetujui oleh semua persatuan, selagi itulah kami tidak akan beroperasi semula," katanya.
#Viral #Viral #PKPP #“Pasar #Malam”
;