Hiburan
Selalu Dianggap Budak Pelik, Yonnyboii Dedah Miliki Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD)
Komposer, penulis lirik dan penyanyi muda yang sedang meningkat naik, Yonnyboii mengakui mempunyai penyakit Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) atau Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif.
Yonnyboii berkata disebabkan penyakit tersebut, selama ini orang menilai dirinya sebagai seorang yang pelik sehingga disalah erti.
“Jadi, terjawab kenapa saya berkelakuan, berasa seperti orang buangan dan sebagainya. Saya selalu dianggap macam budak pelik, walau ke mana pun saya pergi.
“Ini juga antara punca saya menjadi anti sosial. Sebab saya sedar orang tidak menyukai saya dan sering menjadi mangsa ‘bahan’.
“Dengan pengakuan ini masyarakat akan lebih tahu dan menyedari personaliti sebenar diri saya. Saya hanya nak cakap, tak ada masalah nak menjadi pelik.
“Tak ada apa yang salah jika menjadi diri sendiri. Kenapa nak kena berselindung. Sakitkan diri saja,” katanya yang muncul dengan single baru ‘Aku Itu Aku’ yang menggambarkan tentang perasaan dan cabaran dirinya menghadapi ujian dunia.
Tambah Yonnyboii, lagu tersebut juga mengingatkan bahawa dia seorang yang normal tetapi sedikit istimewa.
“Apa yang penting, lagu ini saya nak perbetulkan apa yang orang sering cakap semua manusia tak sempurna.
“Saya Cuma ingin sampaikan setiap orang ada kesakitan dan peningkatan dalam hidup. Saya pasti menerusi lagu ini orang dapat kaitkan dalam diri masing-masing,” katanya.
“Sebab, selepas melalui banyak perkara, saya sedar sebagai manusia, Allah sudah ciptakan kita sempurna dengan pelbagai sifat dan kerenah. Cuma, kita unik dalam pelbagai cara. Kita sempurna dan cantik dengan cara tersendiri. Jadi, bagi saya untuk mengatakan manusia tak sempurna adalah tidak tepat,” katanya.
Istimewanya, Yonnyboii memilih tanggal 20 Mei sebagai tarikh pelancaran lagu ciptaan sepenuhnya itu sempena meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-22.
“Lagu ini dilancarkan sempena hari jadi saya sebagai hadiah buat diri sendiri. Jadi, lagu ini macam peringatan untuk diri saya yang semakin meningkat usia. Tapi, saya masih orang sama,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Yonnyboii berkata ia adalah eksperimen dalam muzik yang dibawa.
“Untuk muzik kali ini saya cuba eksperimen sikit. Saya menggabungkan R&B dan elemen rock. Jadi, dari kebiasaan R&B hip hop, saya cuba selitkan rock alternatif pula.
“Seperkara lagi, apa boleh dikatakan gubahan lagu ini memang sangat berbeza daripada lagu saya sebelum ini,” katanya.
Must-Watch Video