Mempunyai tulisan yang cantik merupakan antara salah satu bakat yang diidamkan sesetengah orang.

Namun bagi gadis berusia 25 tahun ini, memiliki hasil tulisan yang kemas telah membuatkannya tular!

Pemilik nama penuh Nur Izzati Abdul Rani atau lebih mesra disapa sebagai Izzati berlatih sendiri untuk mendapatkan tulisan yang cantik.

“Saya mula berminat nak tulis tulisan cantik awal 2018. Pada tahun 2018 saya banyak print font yang ada.



“Saya berlatih satu demi satu huruf berulang kali, kemudian baru mula dengan menulis ayat ayat pendek guna tulisan yang saya dah berlatih tulis tu.

“Tapi, saya berlatih sendiri dan is bukan daripada bakat semulajadi,” ujar Izzati ketika dihubungi Gempak.

Berasal dari Ipoh Perak dan kini sedang menyambung pengajian sarjana muda di UNISEL Bestari Jaya, Izzati sering mendapat pujian ramai kerana memiliki tulisan yang cantik.

“Pujian yang paling saya ingat pujian dari kawan baik sendiri. Daripada tulisan buruk sampailah hasil yang sekarang dia tak henti-henti puji.



“Dan dia orang yang tengok saya berusaha nak cantikkan tulisan saya dari mula sampai sekarang. Jazmin Wahidah namanya,” kata Izzati lagi.

Sering terpilih menjadi mangsa untuk menulis di atas kertas mahjong bagi sebarang pembentangan kelas, Izzati akur.

“Tulis atas kertas mahjong okay je cuma tulisan saya dekat papan putih buruk sikit jadi jarang saya menulis dekat situ,” katanya lagi.

Menggemari pen dengan mata 0.5, Izzati juga handal membuat tulisan kaligrafi, hasil pembelajaran sendiri di laman sosial.

“Kaligrafi pula saya mula belajar pertengahan tahun 2016. Kaligrafi ni saya berlatih guna pensil saja pada awalnya sebelum beli alat tulis khas untuk kaligrafi.

“Saya berlatih ikut tutorial yang ada di Instagram. Tengok cara pegang pen dan macam mana nak guna pen kaligrafi. Sebab kalau salah cara tulis nanti kaligrafi tak nampak macam kaligrafi,” kata Izzati sebagai penutup bicara.