Hiburan
Selalu Mungkir Janji, Batal Persembahan Saat Akhir Adalah Fitnah - Siti Nordiana
Penyanyi Siti Nordiana menafikan tuduhan sering mungkir janji dan membatalkan persembahan pada saat akhir seperti yang dilaporkan menerusi ruangan gosip sebuah akhbar.
Bekas juara Gegar Vaganza musim kedua itu turut menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh penganjur kepada akhbar tersebut sebagai fitnah.
“Saya tidak pernah batalkan persembahan sesuka hati, lebih-lebih lagi melibatkan bayaran. Menerusi artikel tersebut, saya dikatakan suka membatalkan persembahan di saat akhir kerana mahu mengejar bayaran lebih tinggi.
“Penganjur yang kata saya membatalkan persembahan pada saat akhir itu, cerita sebenarnya ialah pihak mereka yang tidak membayar deposit seperti dijanjikan.
“Mereka ada hubungi pengurus saya dan berbincang mengenai ‘show’ dan pihak saya pula minta deposit untuk ‘lock’ tarikh tersebut kerana ada tiga tawaran daripada penganjur lain pada tarikh yang sama.
“Tidak tahu bagaimana perkara ini boleh menjadi isu kerana rasanya pengurus saya sudah maklumkan kepada semua penganjur jika mahu ‘lock’ saya, perlu bayar deposit dahulu.
“Jadi saya telah memilih untuk menerima tawaran daripada pihak yang telah membuat bayaran deposit, bukan siapa yang bayar lebih.
“Sebagai penyanyi, inilah mata pencarian saya. Tidak mungkin saya menyekat rezeki saya sendiri dengan perkara sedemikian?,” jelasnya ketika dihubungi Astro Gempak.
Tambah pelakon drama bersiri ‘Dia Semanis Honey’ itu lagi, dia tidak faham mengapa penganjur tersebut sanggup memfitnahnya.
“Saya tidak akan menabur pasir dalam periuk nasi sendiri. Mereka tidak bayar deposit, jadi di mana salah saya?
“Saya bukan mata duitan seperti yang digembar-gemburkan. Siti Nordiana hari ini masih sama seperti Siti Nordiana dahulu,” katanya kesal.
Bagaimanapun, pelantun suara Memori Berkasih ini berazam untuk terus bekerja dengan lebih kuat demi anaknya, Rayyan Nakhaei, 8 dan keluarga.
“Buat masa ini, saya hanya ingin membahagiakan anak dan keluarga. Saya perlu bekerja untuk mereka dan saya juga ada pekerja yang perlu dibayar gaji.
“Saya sedaya upaya ingin memuaskan hati semua pihak agar tiada yang berkecil hati tetapi jika ada yang terlepas pandang, saya mohon maaf,” ujarnya.