Hiburan
"Selalu Rasa Down…" - Ernie Zakri Kesal Jadi Mangsa 'Body Shaming'
Penyanyi Ernie Zakri, 27, meluahkan rasa kurang senangnya berhubung komen netizen yang kerap mengkritik saiz dan bentuk badannya.
Luahan itu dikongsi menerusi Instagram Story miliknya semalam.
Menurut Ernie, sejak kebelakangan ini, terdapat segelintir netizen yang menegur badannya semakin berisi dan kelihatan sedikit gemuk.
Menurutnya, biarpun berasa marah dan geram, pada masa sama Ernie tidak mahu melayan komen berkenaan.
Namun, ia akhirnya tetap memberi kesan terhadap emosi dirinya.
"Kadang rasa geram, marah, malas layan tapi perasaan yang selalu datang adalah rasa 'down'.
"Pada yang selalu komen niat nak bergurau khususnya lelaki, saya faham. Tapi kita mungkin boleh belajar macam mana nak komen secara berhemah," katanya.
Jelasnya, isu tersebut mungkin nampak kecil, namun orang ramai yang mengkritik itu mungkin tidak tahu apa dilalui oleh empunya badan.
"Kita sendiri tidak tahu apa yang orang itu lalui. Kisah silam dia, mungkin dia pernah ada isu dengan tubuh badan atau kesihatan dia ke apa.
"Jom kita belajar cara untuk menghormati dan komen secara berhemah," katanya lagi.