Selalu Sangat Bawa Watak Antagonis, Azar Azmi Tak Kisah Dicop Wanita Jahat

Fiza Kamarudin
Ogos 14, 2019 15:27 MYT
Pelakon Azar Azmi atau Siti Azar Ameerah Azmi memberitahu dia tidak kisah dicop wanita jahat gara-gara selalu melakonkan watak antagonis.
Kata Azar setakat ini dia sentiasa bersedia dengan sebarang kecaman kerana, itu petanda lakonannya menjadi dan berjaya mengundang kebencian penonton.
“Setakat ini, saya okey. Saya sentiasa bersedia dengan apa jua kecaman kerana bila dikecam itu menandakan lakonan saya memberi impak.
“Tapi kalau ada orang cop saya perempuan jahat, saya nak kata apa kan…mulut penonton tidak boleh ditutup, walau hakikatnya saya bukanlah Azar seperti watak dilakonkan,” katanya ketawa.
Terbaru, Azar bakal membawakan watak antagonis sebagai Permaisuri Tishaku dalam pementasan teater berjudul 'Malayu-Pawana Isabella', arahan Erma Fatima.
Menurut Azar, untuk menjayakan watak Permaisuri Tishaku yang berjiwa zalim, dia mengambil inspirasi daripada watak Maleficent, lakonan Angelina Jolie.
“Mungkin selepas menonton, akan ada yang menghentam saya, tetapi saya percaya dengan kewibawaan Erma Fatima untuk membuka mata semua orang menerusi naskah ini.
“Apapun, saya akan berikan yang terbaik kerana saya tidak pernah takut dibenci kerana lakonan ‘jahat’ saya,” ujarnya yang baru pertama kali berlakon teater.
Teater ‘Malayu-Pawana Isabella’ bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 21 Ogos hingga 31 Ogos ini.
Teater arahan Erma Fatima itu turut membariskan ramai bintang hebat seperti Johan Raja Lawak, Ozlynn Waty, Datuk Afdlin Shauki, Datin Paduka Umie Aida, Datuk Ziela Jalil, Shahronizam, Jay Iswazir dan Anas Ridzuan.
Tiket boleh dibeli di kaunter Box-Office Istana Budaya dengan harga RM48 hingga RM188.
#Azar Azmi #Pawana Isabella #Jahat