Hiburan

Selalu Tiru Jackie Chan, Nicholas Tse Pertama Kali Jadi Koreografer Aksi Di Filem Customs Frontline

gempak
Maliah Surip
01/07/2024
15:55 MYT
Sponsor Banner
Selalu Tiru Jackie Chan, Nicholas Tse Pertama Kali Jadi Koreografer Aksi Di Filem Customs Frontline
Bintang terkenal Hong Kong, Nicholas Tse kembali ke layar lebar menerusi filem yang mendapat sambutan hangat dan pujian saat ditayangkan pada 26th Far East Film Festival di Udine, Itali, Mei lalu Customs Frontline.
Telah meledak di pawagam Hong Kong, Customs Frontline yang menerima sentuhan emas sutradara, Herman Yau siap memukau penonton di Malaysia bermula 5 Julai 2024.
Bukan sebuah naskhah klise tentang barisan hadapan (frontline) biasa tetapi mengangkat kepayahan, semangat juang dan kecekapan anggota Kastam Hong Kong membenteras jenayah global termasuk penyeludupan senjata api yang jarang memfokus atau menonjolkan kepakaran anggota kastam.
Filem ini juga menggandingkan nama besar dunia perfileman Asia iaitu legenda Jacky Cheung dan Nicholas Tse, Karena Lam serta ramai lagi.
Nicholas Tse yang menjayakan karakter Chow Ching-lai turut menjadi koreografer aksi pertama dalam filem yang digarap selama dua tahun ini.
Tse, 43, menzahirkan keterujaan dalam pembabitan filem ini bukan hanya kerana berganding dengan pesohor seperti Jacky Cheung tetapi bagaimana dia merealisasikan babak aksi yang menjadi dambaan selama ini.
“Sewaktu kecil saya selalu meniru aksi Jackie Chan dan Donnie Yen.
“Jika ditanya, secara jujur saya akan meneruskan tradisi merisikokan diri untuk melakonkan babak aksi dalam filem Hong Kong.
“Kerana itu saya turut menjadi koreografer aksi buat pertama kali dalam sejarah lakonan menerusi Customs Frontline,” ujar Tse.
Pemenang Aktor Terbaik dalam Hong Kong Film Award ke- 31 itu juga mahu terus membawa semangat dan dedikasi yang pernah ditonjolkan mendiang Pengarah Benny Chan menerusi dunia sinema Hong Kong seperti dalam filem Gen-X Cops, New Police Story, Shaolin dan Raging Fire.
Penampilan dengan dua kerja yang dilakukan Tse dalam Customs Frontline juga disifatkan sebagai kesungguhan yang luar biasa dari segi aksi dan lakonan unik yang ditonjolkan.
Kepada media, Tse mengaku kolaborasi bersama legenda Jacky Cheung yang kembali berlakon selepas lapan tahun berehat berjalan lancar.
“Walaupun kami tidak terlalu akrab tapi siapa yang tidak mengenali Jacky Cheung? Sesekali kami bersapa dan bertanya khabar.
“Dan saya berbesar hati terbabit dalam Custom Frontlines berganding bersama Jacky Cheung. Beliau seorang aktor yang disegani dan hebat sejak sekian lama.
“Jadi banyak babak aksi yang dilakonkan berjalan baik, chemistry kami tercipta begitu sahaja. Ia sebuah pengalaman yang menarik kerana Cheung tidak bermasalah dengan arahan aksi saya,” katanya menerusi sidang media virtual baru-baru ini.
Penuh aksi tanpa henti, Customs Frontline mendapat kerjasama daripada pihak Kastam Hong Kong termasuk membenarkan penggambaran dijalankan di beberapa lokasi penting seperti Ibu Pejabat Kastam Hong Kong North Point dan Ngong Shuen Chau Naval Base untuk paparan yang lebih realistik.
Untuk menyaksikan bagaimana Customs Frontline akan membuatkan anda mempunyai sudut pandang dan dimensi yang berbeza tentang pekerjaan unit beruniform pegawai kastam yang jarang ditonjolkan, jangan lupa ke pawagam berhampiran anda bermula 5 Julai 2024.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live