Penyanyi dan pelakon popular, Erra Fazira menyifatkan setiap anugerah yang diterima olehnya datang dengan tanggungjawab.

Menerima trofi The Primadona Achievement Awards di Malaysia Prestigious Industry Award 2019 (MPIA), Erra berazam untuk terus berusaha menampilkan kualiti kerja terbaik.

"Selalunya, anugerah datang dengan tanggungjawab. Ia menjadi penyuntik semangat untuk saya terus memberikan terbaik.

"Saya sendiri berazam untuk meneruskan usaha menampilkan kualiti kerja yang memberangsangkan.

"Setiap apa jua perkara yang saya lakukan dalam bidang hiburan memang saya akan berikan usaha melebihi 100 peratus," katanya.



Erra ditemui di majlis anugerah yang dianjurkan oleh Malaysia Organisation of Company Director (MOCAD) yang diadakan baru-baru ini.

Tambah Erra, peminat merupakan nadi dalam perjalanan kariernya sebagai seorang anak seni.

"Sebagai anak seni, saya berterima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong. Saya rasa sangat beruntung kerana peminat tak pernah berhenti memberikan dorongan.

"Permintaan tidak pernah putus dan saya bersyukur kerana dimurahkan rezeki sehingga hari ini. Semuanya kerana peminat yang tidak pernah lelah dan menghargai kerja keras saya dalam bidang hiburan," katanya lagi.

Selain Erra, MPIA 2019 turut mengiktiraf pelbagai usahawan serta selebriti lain dalam kategori berbeza seperti Zara Zya, Datuk Alha Alfa, Syafieq Aiman, Datuk Yusof Haslam, Datuk Ramli MS, Shuib Sepahtu dan ramai lagi.