Melihat kepada InstaStories di Instagram milik pelakon Sharifah Aryana, dia seolah-olah amat marah dengan seseorang yang cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya.

Pihak Gempak menghubungi Sharifah Aryana atau panggilan mesranya Yana untuk mendapatkan cerita lanjut.

Menurut Yana, dia mendapat mesej daripada seorang teman yang juga merupakan seorang produser tentang pencarian pelakon termasuk maklumat tentang projek tersebut.

"Jadi saya pun menghubungi pihak yang menguruskannya dan seorang wanita yang merupakan daripada 'casting agency' meminta saya menghantar 'Comm Card'.

"Tetapi saya agak pelik apabila dia meminta saya tidak meletakkan nombor telefon untuk dihubungi," kata Yana.

Tambah Yana lagi, dia menghantar 'Comm Card' yang telah disediakan oleh pihak pengurusannya kepada wanita tersebut melalui Whatsapp.

Wanita tersebut seolah-olah memarahinya apabila menghantar contoh Comm Card daripada pelakon lain yang tidak meletakkan nombor telefon dan memintanya membuat perkara yang sama.

"Saya bertanya balik kenapa tidak boleh meletakkan nama pihak pengurusan dan nombor yang boleh dihubungi?

Pada saya itu penting kerana saya diwakili oleh pihak pengurusan dan mereka perlu tahu perjalanan kerjaya saya," kata Yana.

Namun menurut Yana, wanita tersebut secara biadap membalas kembali dengan jawapan "Why you so special."



Kata Yana, dia tidak merasakan dirinya lebih istimewa daripada yang lain, cuma cara penulisan tersebut sangat biadap dan tidak menghormatinya sebagai pelakon dan pihak pengurusannya.

"Saya berasakan pihak tersebut cuba mengambil kesempatan terhadap pelakon yang baru ingin membina nama di dalam industri dan saya rasa sangat tidak adil dan melampau.

"Saya sangat berharap pihak talent agency seperti ini tidak mengambil kesempatan terhadap mereka yang mahu mencurahkan bakat mereka dalam bidang seni," tambah Yana lagi.

Sharifah Aryana baharu sahaja tamat penggambaran untuk saluran Astro Citra bersama Syafie Naswip, Lydiawati dan beberapa pelakon lagi.