Juara program realiti Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV2), Fitri Haris, 35, mengumumkan dia sudah menamatkan zaman duda dengan pengurusnya sendiri iaitu Fazilah Omar, 32, baru-baru ini.

Menurut Fitri pernikahannya hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat serta dibuat secara tertutup.

"Alhamdulillah, saya dan Fazilah sudah bernikah tapi tarikh dan lokasi itu biarlah kami rahsiakan sebab atas permintaan kedua-dua pihak keluarga.

"Apa yang saya boleh kongsikan adalah majlis pernikahan itu diadakan secara tertutup pada baru-baru ini dan hanya dihadiri keluarga terdekat sahaja," katanya kepada Gempak.

Fitri ditemui ketika majlis persandingannya yang diadakan di Hotel Dorsett, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Dalam pada itu, Fitri mendedahkan dia telah melakukan solat istikarah sebelum membuat keputusan untuk menikahi pengurusnya.

"Sebenarnya saya dan dia tidak pernah menyimpan sebarang perasaan sebab kami bekerja secara profesional selama ini dan anggap sebagai keluarga. Tak terfikir pun yang dia akan menjadi pasangan hidup saya.

"Selama ini saya buta sebab dia ada saja di depan mata saya dan menjaga saya dengan baik tapi saya tak nampak. Tapi ini semua aturan Allah.

"Selepas melakukan solat istikarah pada tiga bulan lalu, saya hanya nampak wajah dia saja.
Selepas itu, saya terus hubungi keluarga untuk menghantar rombongan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Fitri memberitahu Fazilah mula menguruskan kerjayanya semenjak dia menyertai GGV2 pada 2018.

Terdahulu, Fitri memiliki seorang isteri sebelum bernikah seorang lagi di Songkhla, Thailand pada 12 Mei 2009.

Bagaimanapun, hubungan itu tidak bertahan lama apabila dia bercerai dengan isteri pertama sebulan selepas berkahwin dengan isteri kedua.

Kemudian dia bercerai pula dengan isteri kedua dua minggu selepas itu.

Pada 9 September 2012, Fitri berkahwin kali ketiga namun perkahwinan itu juga berakhir dengan perceraian.

Bekas anggota kumpulan nasyid UNIC ini mempunyai seorang anak bernama Sofea Solehah, 15, yang menetap bersama bekas isteri di Singapura.

Selain itu, Fazilah sendiri sudah empat tahun bersendirian dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Qhalish Rayyan Adam yang kini berusia sembilan tahun.