Selangor bercadang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti yang didapati merekodkan kes jangkitan COVID-19 yang tinggi.

Memetik laporan BeritaHarian, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya sudah meneliti beberapa kawasan yang wajar dilaksanakan PKPD mengikut kluster yang merekodkan kes tinggi.

"Petang ini saya akan mencadangkan (dalam mesyuarat khas) mengenai lokaliti terbabit dan setakat ini ada dua kawasan dikenal pasti untuk dilaksanakan PKPD.

"Kerajaan negeri juga bersedia untuk membiayai sebahagian kos operasi (pelaksanaan PKPD) ini sekiranya ia dilaksanakan," katanya kepada Berita Harian.

Selangor terus merekodkan peningkatan dalam kes COVID-19 apabila merekodkan 1,623 kes jangkitan baharu sekali gus menjadikan kes aktif terkumpul berjumlah 5,016.

Klang mencatatkan kes aktif tertinggi iaitu 4,022 diikuti Hulu Langat (424); Petaling (274); Sepang (131); Kuala Langat (80); Gombak (61); Hulu Selangor (12) dan Kuala Selangor (10).

Secara keseluruhan, Selangor merekodkan kes kumulatif sebanyak 12,576.

Kerajaan baru-baru ini memutuskan sebanyak 28 kilang pengeluar sarung tangan, Top Glove di daerah Klang akan ditutup secara berperingkat susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 membabitkan pekerja kilang terbabit.

Amirudin berkata, penutupan kilang Top Glove juga adalah tindakan yang wajar dilakukan kerana kluster berkenaan menyumbang kepada jumlah kes yang tinggi di negeri ini.

Katanya, PKPD adalah proses yang terbaik untuk mengekang secara terus penularan wabak berkenaan bagaimanapun ia perlu dilakukan secara berpilih.

"Sehingga kini, 5,000 daripada kira-kira 13,000 pekerja kilang berkenaan sudah disaring dan apa yang membimbangkan adalah kebanyakan individu disaring didapati positif COVID-19," katanya.


Sumber: Berita Harian
Kredit foto: Faris Hadziq/SOPA Images/Shutterstock