Selangor Tak Iktiraf Pakej Pernikahan Di Thailand
Gempak
12/01/2023 03:09 MYT
12/01/2023 03:09 MYT
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak sesekali mengiktiraf pihak yang menyediakan pernikahan pasangan tempatan di luar negara termasuk Thailand.
Biarpun pernikahan itu sah di sisi Islam, pengiktirafan tidak diberikan kepada pasangan yang gagal mendaftar dan perlu membayar denda kepada mahkamah.
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof menegaskan tiada sebarang jalinan kerjasama dilakukan dengan pihak yang menawarkan pakej pernikahan seumpama itu.
Kata beliau, pihaknya menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempunyai pendaftar dan jurunikah mencukupi di setiap daerah negeri ini.
“Keadaan itu menunjukkan bahawa tiada sebarang larangan kepada mana-mana pasangan Islam untuk bernikah menerusi prosedur yang telah ditetapkan.
“Namun, masih ada pasangan mahu bernikah di luar negara dan kita tidak pernah mengiktirafnya termasuk pihak yang menawarkan pakej itu,” katanya seperti dilapor Kosmo! Online
Terdahulu, tular poster pakej pernikahan di Thailand bermula serendah RM2,000 termasuk bayaran kepada majlis agama, pengangkutan dan makan tengah hari bagi setiap pasangan.
Isu itu kembali hangat di media sosial susulan pergolakan rumah tangga selebriti terkenal, Syamsul Yusof yang mengakui bernikah buat kali kedua dengan Ira Kazar di Thailand pada Jumaat lalu.
Jelas Abdul Aziz, pasangan yang bernikah di luar negara tidak dapat mengelak untuk mendaftarkan pernikahan dengan Jabatan Agama Islam malah perlu membayar denda.
“Kita telah mempunyai peraturan dan undang-undang sedia ada yang tidak mengiktiraf perkara seumpama itu.
“Kenapa perlu membayar denda sedangkan kemudahan sudah disediakan sepenuhnya pihak bertanggungjawab untuk proses pernikahan yang sah,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan tindakan itu berpunca masalah peribadi atau rumahtangga namun ia sewajarnya perlu dielakkan.
“Ini antaranya kerana bakal timbul masalah perceraian dan pembahagian harta kepada waris pasangan yang gagal mendaftar kelak,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, misi berkenaan meliputi sumbangan berjumlah RM200,000 termasuk wang tunai dan pek makanan asas kepada mangsa banjir di dua negeri tersebut.
Foto: Google
Foto: Google
Sumber: KOSMO! ONLINE