Festival muzik selalunya dianjurkan di padang pasir California atau di bandar-bandar utama Eropah.

Namun kali ini, peminat muzik elektronik berkunjung ke Riyadh, Arab Saudi untuk menghadiri festival muzik MDL Beast yang disertai DJ terkenal seperti David Guetta dan Steve Aoki, lapor AWANI.

Antara yang mengunjungi festival itu termasuk bintang Hollywood seperti Irina Shayk, Scott Disick, Sofia Richie serta pelakon Armie Hammer dan Ryan Phillippe.

Namun begitu, bintang-bintang tersebut dikritik kerana didakwa dibayar supaya dapat membantu kerajaan Arab Saudi mengubah imej negara yang tercemar dengan pelbagai kontroversi.

Sementara itu, ada juga pihak yang melihat sambutan meriah itu seolah-olah mengabaikan penindasan yang berlaku di negara itu termasuk penglibatan kerajaan Arab Saudi dalam pembunuhan wartawan The Washington Post, Jamal Khashoggi.

Salah seorang pengkritik fesyen di Instagram, Diet Prada, mendakwa artis-artis tersebut menerima bayaran untuk mempromosikan festival itu bagi “memulihkan imej Arab Saudi”.

“Terima kasih @diet_prada mengemukakan hal ini. Saya merupakan pengarang kepada Jamal Khashoggi di Washington Post,” menurut satu komen yang ditulis oleh Karen Attiah.

Tambahnya, “Jamal percaya bahawa media sosial harus digunakan untuk kebaikan. Ia amat memalukan kerana aktivis dan pempengaruh di Arab Saudi sebaliknya dipenjarakan bawah Mohammed bin Salman.”

Sebaliknya, pelakon dan model Emily Ratajkowski pula menyatakan bahawa beliau menolak jemputan ke negara itu untuk menunjukkan sokongan kepada hak wanita, hak komuniti LGBT serta hak kebebasan media dan bersuara.

Dakwa pensyarah di Pusat Pengajian Arab dan Islam di Australian National University, Dr Raihan Ismail kepada akhbar The Guardian, Arab Saudi telah melabur berbilion dolar untuk mengubah imej mereka di negara-negara Barat.

“Kerajaan Saudi banyak melabur untuk memperbetulkan imejnya, terutamanya susulan insiden Jamal Khashoggi, wartawan warga Saudi yang dibunuh di konsulat Saudi di Turki,” kata Dr Raihan.

Katanya, pempengaruh yang mengunjungi negara itu menerusi program yang dibiayai kerajaan tidak akan dapat gambaran penuh.

“Sekiranya seseorang melawat Arab Saudi dan melihat perubahan positif di sana, terutamanya dalam kalangan rakyat Saudi yang lebih muda, pasti mereka akan fikir, ‘kerajaan Saudi semakin terbuka’.

"Namun, kita masih berdepan kerajaan yang kuat menindas rakyatnya,” kata Dr Raihan.

Namun begitu, bukan semua penganjuran acara muzik di negara itu dilayan sama rata.

Walaupun festival MDL Beast dipromosikan pada laman web rasmi pelancongan Arab Saudi, namun ‘Disko Halal’ yang pernah dibuka di Jeddah pada Januari lalu ditutup pada hari pertama operasi.

Sumber : Astro AWANI