HIBURAN

Selebriti Indonesia Fuji, Davina Karamoy Dilantik Duta Baharu Hijabistahub, Aliff Syukri Pula Kini CEO

Umirah Halim 28/02/2025 | 07:25 MYT
HijabistaHub, jenama fesyen terkemuka, dengan bangganya melancarkan pembukaan ibu pejabat baharunya serta kempen istimewa Raya Paling Epik hasil kolaborasi bersama Tune Talk.

Ibu pejabat baharu

Sebagai langkah memperkukuh jenama dan meningkatkan pengalaman pelanggan, HijabistaHub kini beroperasi di ibu pejabat baharunya yang lebih besar dengan keluasan lebih satu ekar yang berkonsep moden yang disatukan dengan butiknya di tingkah paling bawah.

Pengasas HijabistaHub Wanie Elena berkata, pelancaran ibu pejabat ini melambangkan pertumbuhan pesat syarikat serta komitmen dalam menawarkan produk fesyen yang berkualiti tinggi dan menepati permintaan pelanggan.

“Sebagai jenama fesyen yang sentiasa menghargai sokongan pelanggan, kami di HijabistaHub amat berbesar hati untuk pelancaran ibu pejabat baharu kami ini serta memperkenalkan kempen ‘Raya Paling Epik!’ - sebuah inisiatif yang benar-benar epik dan luar biasa.

“Kami mahu menjadikan pengalaman membeli-belah di HijabistaHub lebih bermakna, bukan sekadar mendapatkan pakaian bergaya dan berkualiti tetapi juga memberi peluang kepada pelanggan kami untuk membawa pulang hadiah impian, termasuk sebuah rumah dua tingkat, kereta, pakej umrah, dan motosikal.

"Ini adalah tanda penghargaan kami kepada semua yang telah menyokong HijabistaHub sejak hari pertama," katanya.

Sementara itu, Pengerusi HijabistaHub Ahmad Syafiq Hilmi berkata, HijabistaHub turut memperkenalkan kempen Raya Paling Epik, ini adalah kolaborasi buat julung kalinya bersama Tune Talk, sebuah jenama telco yang terkemuka di Malaysia. Kolaborasi dari dua industri yang berbeza disatukan untuk satu kempen mega yang menjanjikan ganjaran hadiah yang

sangat lumayan kepada para pelanggan.

Menurutnya, kempen ini menampilkan cabutan bertuah dengan hadiah-hadiah eksklusif. Antaranya, sebuah rumah dua tingkat, dua buah kereta Perodua Axia, dua pakej umrah dan lima buah motosikal.

"Dengan setiap pembelian atau langganan istimewa Tune Talk, pelanggan berpeluang untuk membawa pulang hadiah luar biasa ini, menjadikan sambutan Raya tahun ini lebih meriah dan bermakna.

"Lebih menarik, pelanggan juga berpeluang untuk bertemu secara langsung dengan duta HijabistaHub dari Indonesia, Fuji dan Davina, yang kini menjadi sebahagian daripada keluarga besar kami.

"Jika tahun lepas kami sudah melebarkan sayap ke negara jiran Thailand dan Singapura. Kami percaya kehadiran mereka akan membawa keterujaan baru dan mengeratkan lagi hubungan HijabistaHub dengan peminat fesyen di Malaysia dan Indonesia," katanya.

Pada majlis sama, HijabistaHub turut memperkenalkan dua selebriti popular dari Indonesia, Fuji dan Davina, sebagai duta rasmi. Kehadiran mereka di dalam keluarga HijabistaHub mencerminkan daya tarikan jenama ini merentasi sempadan serta mengukuhkan jenama di pasaran serantau.

Majlis ini turut menyaksikan pengumuman rasmi Dato ’ Sri Aliff Syukri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu HijabistaHub. Dikenali sebagai usahawan berjaya dalam industri fesyen dan kecantikan, pelantikan beliau diharap dapat membawa jenama ini ke tahap yang lebih tinggi dan inovatif.

Sebagai pelengkap kepada kempen tahun ini, HijabistaHub turut memperkenalkan MUSE HijabistaHub 2025, terdiri daripada barisan selebriti dan ikon industri hiburan yang akan mewakili jenama ini.

Mereka terdiri daripada Zizan Razak, Emma Maembong, KRU, Maya Karin, Nasha Aziz dan The Sara Sisters.

Gabungan selebriti terkenal ini mencerminkan kepelbagaian dan daya tarikan HijabistaHub dalam dunia fesyen di Malaysia.

Dengan pelbagai inisiatif baharu dan kempen menarik, HijabistaHub terus mengorak langkah sebagai peneraju utama industri fesyen Muslimah. Untuk maklumat lanjut mengenai Kempen Raya Paling Epik atau produk terkini HijabistaHub, layari laman web rasmi atau ikuti media sosial HijabistaHub.

BERITA TRENDING: Teruja Berada Di Malaysia, Fuji Puji Sikap Peminat Yang Sopan-Santun - “Jika Mahu Bergambar Mereka Minta Izin…”

BERITA TRENDING: Kat Roshan & Asyraf Nasir - I'm a Rebel! | Gempak Jam Session

#Aliff Syukri #Hijabistahub #Fuji #davina #karamoy