Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

"Selebriti Tak Seharusnya Overclaimed Produk Yang Mereka Wakili Mampu Sembuhkan Penyakit" - Aznil Nawawi

Izwan Isa
23/05/2022 04:50 MYT
Pengacara nombor satu negara, Datuk Seri Aznil Nawawi berpesan kepada selebriti supaya mengambil tahu tentang produk yang dipromosikan oleh mereka.

Aznil berkata, selain mewakili sesuatu produk, selebriti tidak seharusnya memberikan ‘janji’ kepada orang ramai bahawa produk yang mereka wakili itu dapat menyembuhkan sesuatu penyakit.

“Saya menghormati apa yang Dr Rafidah lakukan dengan memberi teguran kepada mereka (selebriti) yang mengeluarkan atau mewakili sesuatu produk. Sekurang-kurangnya ada pemantau dalam hal ini.

“Cuma, janganlah hina golongan artis kerana mereka memerlukan sumber pendapatan dan dalam masa sama ilmu mengenai produk yang diwakili perlulah ada.

"Lagi satu, jika seseorang artis itu dilantik sebagai duta atau mengeluarkan produk (khususnya suplemen kesihatan), janganlah kata yang produk mereka boleh menyembuhkan sesuatu penyakit. Sebab ia boleh menyebabkan tiada orang nak jumpa doktor,” katanya kepada Gempak pada majlis pelancaran produk terbaharu Eskayvie, i-Qids, baru-baru ini.

Aznil mengulas mengenai kenyataan Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi Hospital Putrajaya, Dr Rafidah Abdullah yang menegur penyanyi dan pengarah, Mawi berhubung iklan promosi produk kesihatan.

Rafidah, menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya berkata, tindakan Mawi yang mendakwa ada ahli keluarganya telah merasai perubahan selepas meminum jus berkenaan adalah salah di sisi undang-undang.

Menerusi rajutan ciapan di Twitter, Rafidah turut memuat naik iklan promosi produk minuman kesihatan berkaitan yang didakwa mampu mengurangkan masalah penyakit buah pinggang, kencing manis, darah tinggi dan kolestrol.

Aznil yang kini bergelar duta suplemen kesihatan syarikat Eskayvie berkata, dia berharap agar orang ramai tidak meninggalkan ubat doktor jika mengambil mana-mana suplemen atau makanan tambahan untuk kesihatan.

"Setiap individu tidak boleh culas soal ini. Ubat adalah benda yang menyembuhkan manakala suplemen adalah untuk mempercepatkan penyembuhan dan bukan menyembuhkan," katanya.

Dalam masa sama, Aznil turut menjelaskan, setiap selebriti yang dilantik menjadi duta produk perlu ada pendirian dan pendapat tersendiri.

"Kalau saya memang pengguna tegar makanan tambahan dan suplemen, kerana saya sedar gaya hidup dan pemakanan seperti pengambilan sayur dan buah tidak mencukupi menyebabkan saya memerlukan nutrisi sokongan.

"Kalau saya bukan pengguna dan tak percaya dengan produk saya tak akan menjadi duta produk Eskayvie. Tambah pula, produk ini diformulasikan oleh Doktor Perubatan, Dr Syid Ayob yang pastinya arif berkenaan dos bahan aktif dan kesan setiap nutrisi yang disarankan," katanya lagi.

#Mawi #Aznil Nawawi #Suplemen Kesihatan