Filem
Selepas 10 Tahun, Razak Mohaideen Kembali Dengan Anak Mami Nasi Kandar
Selepas 10 tahun menyepi, Datuk Profesor A. Razak Mohaideen bakal muncul dengan filem arahannya yang terbaru, Anak Mami Nasi Kandar (AMNK).
Razak Mohaideen yang juga Dekan Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM berkata AMNK dihasilkan selepas menerima permintaan orang ramai.
"Hampir 10 tahun saya tidak hasilkan filem sejak Nana Tanjung 2 pada 2007, kerana sibuk siapkan tesis kedoktoran.
"Dalam tempoh waktu tersebut saya sering ditanya bila mahu kembali mengarahkan filem sekuel Anak Mami.
"Dari situ saya nampak branding Anak Mami masih kuat dan agak mengejutkan kerana kebanyakan yang bertanya itu dari Sabah, Sarawak dan Brunei," katanya kepada Astro Gempak ketika majlis sidang media di Intekma Resort, Shah Alam.
Menurutnya lagi, cerita mengenai masyarakat, adat dan budaya 'anak mami, masih dikekalkan seperti sekuel terdahulu.
“Saya cuba kekalkan tema kekeluargaan dan genre komedi dalam AMNK seperti sekuel yang sebelumnya. Cuma kelainan kali ini ialah kemunculan muka-muka baru dan beberapa orang pelakon lama yang biasa membintangi filem arahan saya.
“Dengan kehadiran pelakon baharu juga, saya juga cuba kembangkan lagi jalan cerita AMNK mengikut selera penonton masa kini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Razak Mohaideen tidak menolak kemungkinan bakal muncul dengan sekuel 'anak mami' yang seterusnya jika AMNK menerima sambutan ramai. l
“Saya sebenarnya ada terfikir dan tidak keberatan untuk hasilkan sekuel Anak Mami Nasi Dalcha jika filem ini mendapat sambutan oleh para penonton di pawagam. Tetapi semua itu dalam perancangan dan masih belum ada kata putus lagi,” katanya.
Selain itu Razak Mohaideen turut menjelaskan, tiada sebarang jelajah untuk mempromosikan AMNK kerana komitmen para pelakon.
“Kalau dulu filem anak mami hanya ditayangkan di 40 buah pawagam, kini meningkat kepada 70. Ada kelebihan di situ dan kami tidak merancang untuk mengadakan road tour untuk mempromosikan AMNK kerana kekangan masa dihadapai barisan pelakon utama.
“Rasanya pelakon-pelakon baru tiada masalah untuk beri kerjasama, tetapi saya faham dan menghormati kesibukan masa mereka,” katanya.
AMNK menampilkan Qi Razali, Fasha Sandha, Maria Farida, Chik Pak Man Telo, Sheila Mambo dan muka baru seperti Ezzaty Abdullah, Elisya Sandha dan Amylia Nastasha Aziz.
Filem terbitan FiTA Studios ini bakal menemui para penonton di pawagam seluruh negara pada Hari Raya Aidilfitiri, iaitu 6 Julai ini.