Hiburan
Selepas 14 Tahun Jadi Ibu Tunggal, Raja Azura Kahwin Semula?
Selepas hampir 14 tahun bergelar ibu tunggal, pengacara dan pelakon, Raja Azura dilaporkan mengahwini lelaki pilihannya dipercayai berlangsung semalam.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri Raja Azura yang mesra disapa Kak Engku di Instagramnya.
"Alhamdullilah, syukur ke hadrat llahi dengan limpah kurnia-Nya. Semoga ikatan ini kekal hingga ke jannah.
"Kepada yang selalu mendoakan. Daripada sendirian, kini telah berdua. Terima Kasih," tulisnya.
Bagaimanapun butiran terperinci mengenai suami barunya itu tidak dikongsikan kepada peminat.
Hantaran dimuat naik ibu kepada tiga cahaya mata itu, malam tadi mengundang perhatian rakan selebriti yang rata-ratanya terkejut, namun mendoakan perkahwinan keduanya bekas penyampai radio Sinar FM itu dikurniakan kebahagiaan hingga ke syurga.
Antara rakan artis yang meninggalkan ucapan di ruangan komen termasuklah Janna Nick, Mmi Flyy, Datuk Fizz Fairuz, Azza Elite, Aziz M Osman dan ramai lagi.
Menerusi video yang dikongsikan, Raja Azura yang mengenakan baju kurung dilihat berjalan menuju ke pelamin.
Seakan mengesahkan berita pernikahannya, bekas pengacara Melodi itu kemudiannya dilihat berkongsi sekeping foto berpakaian sedondon rona biru gelap, sambil memaut tangan suaminya yang turut disertakan emoji hati dalam IGs.
Menjengah ruangan komen, ada juga yang turut membuat spekulasi bahawa majlis itu merupakan ikatan cinta anaknya dan mungkin juga anak saudaranya.
Bagaimanapun, usaha media untuk mendapatkan komen daripada Raja Azura tidak membuahkan hasil.
Sebelum ini Raja Azura pernah berkahwin dengan Adzmin Osman iaitu anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff pada Mac 2001.
Bagaimanapun jodoh mereka tidak panjang apabila bercerai pada 28 September 2010. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq, 22; Megat Luqman Hakim, 21; dan Puteri Mia Maizura,19.
Must-Watch Video