HIBURAN

Selepas 15 Tahun, Deep Purple Pilih KL Untuk Konsert Deep Purple Live in Malaysia

Umirah Halim 15/07/2025 | 18:55 MYT

Selepas 15 tahun, kumpulan rock legenda dunia, Deep Purple bakal kembali menggegarkan pentas Malaysia menerusi konsert Deep Purple Live in Malaysia yang dijadual berlangsung pada 23 November 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Menariknya, Kuala Lumpur menjadi satu-satunya lokasi persinggahan Deep Purple di Asia Tenggara, menjadikan ia detik istimewa buat peminat tegar mereka di rantau ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, pemilihan Deep Purple adalah bertepatan dengan kebangkitan semula konsert rock di Malaysia ketika ini.

“Jelas sekali terdapat kebangkitan minat terhadap konsert rock dalam kalangan rakyat Malaysia. Kami komited untuk terus menyemarakkan momentum itu dengan membawa masuk pelopor sebenar genre ini.

“Kali terakhir mereka membuat persembahan di Kuala Lumpur adalah pada tahun 2010. Penantian kali ini sangat berbaloi. Dengan hanya satu persembahan di Asia Tenggara, kami yakin ia bakal menjadi konsert yang luar biasa,” katanya.

Tambah Rohit, konsert kali ini bukan sekadar nostalgia buat peminat lama, malah menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan karisma pentas Deep Purple kepada generasi muda.

“Daripada Smoke on the Water hingga Highway Star, konsert ini bakal menjadi kelas pengajian rock sebenar yang tidak boleh dilepaskan,” ujarnya.

Konsert yang dianjurkan oleh Hitman Solutions ini menandakan kemunculan semula kumpulan berpengaruh dari United Kingdom yang telah mencipta nama dalam dunia muzik sejak 1968.

Dengan 23 album studio dan lebih 100 juta rekod jualan di seluruh dunia, Deep Purple diiktiraf sebagai antara perintis utama dalam genre rock dan heavy metal.

Antara penghargaan terbesar yang pernah dirangkul mereka termasuk kemasukan ke dalam Rock and Roll Hall of Fame, Anugerah Legenda di World Music Awards serta tersenarai dalam senarai Best Live Albums of All Time oleh Rolling Stone menerusi album Made in Japan.

Kumpulan ini turut menjadi sumber inspirasi kepada nama-nama besar seperti Metallica, Aerosmith dan Van Halen, sekali gus memperkukuh pengaruh mereka sebagai ikon muzik rock dunia.

Konsert ini turut mendapat sokongan Mix FM, Lite FM dan Sinar FM selaku rakan radio, Gempak sebagai rakan media digital serta Malay Mail sebagai rakan media utama. Ia juga dianjurkan bersama Rockstar Touring dan LAMC Productions.

Tiket bagi Deep Purple Live In Malaysia akan mula dijual bermula 30 Julai 2025 jam 12 tengah hari menerusi laman rasmi www.hitmanlive.com. Kategori tiket yang ditawarkan adalah seperti berikut:

• Royal Twin Seat – RM2,099 (dilengkapi lanyard dan poster rasmi)
• Gold – RM599
• Silver – RM499
• Rockzone – RM399
• General Admission – RM359
• Bronze – RM299

Sebarang pertanyaan berhubung konsert boleh diajukan menerusi WhatsApp di +6012-265 5783 atau e-mel concerts@hitman.group.

#Konsert #Malaysia #Live #Deep #Purple