Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Selepas 20 Tahun, Reese Witherspoon Kongsi Momen Belakang Tabir Filem Ikonik Legally Blonde

Faizal Saharuni
15/07/2021 13:50 MYT
Masihkah anda ingat tentang Legally Blonde? Siapa sangka filem ikonik dibintangi aktres jelita, Reese Witherspoon, 45, sebagai watak peneraju, Elle Woods itu sudah menjengah usia 20 tahun pada Selasa lalu.

Menerusi hantaran di Instagram milik Witherspoon yang merekod 25.8 juta pengikut, aktres itu memuat naik tujuh foto di sebalik tabir pembikinan filem genre komedi romantik. Ia dilakukan Witherspoon sebagai tanda memperingati naskhah yang pernah mencetus fenomena saat ditayangkan suatu ketika dahulu.

“Oh Tuhan, #LegallyBlonde ditayangkan 20 tahun lalu pada hari ini! Cepat betul masa berlalu dalam kita selesa dalam kehidupan seharian."

“Tapi hakikatnya, saya ibaratkan Elle Woods sebagai watak paling dikenang seumur hidup dan rasa sangat bertuah diberi kepercayaan untuk berkongsi kisahnya kepada anda semua,” tulis Reese.

Elle merupakan seorang penuntut jurusan perancang strategik fesyen di California University, Los Angeles yang menjadi inspirasi ramai dalam soal penampilan diri tambahan pula sikapnya mudah mesra dan sentiasa optimis.

Begitupun, semua bertukar serius sebaik sahaja Elle nekad membantu sebuah organisasi perundangan dalam usaha menyelesaikan kes pembunuhan.

Pemegang trofi Oscar itu mengaku setiap kenangan dalam filem adaptasi novel berjudul sama itu seperti ajukan dialog, topi graduasi, nombor muzikal, kostum Halloween masih kekal dalam ingatan.

“Semua ini beri kegembiraan kepada saya sepanjang dua dekad berlalu. Saya terfikir, apa akan jadi kepada Elle selepas ini?” soal Reese peka nasib watak yang sentiasa ditemani anjing peliharaan itu.

Tidak ketinggalan, Reese dalam video Instagram Story hari sama pula sempat berkongsi impak positif usai cemerlang merealisasikan karakter Elle diangkat daripada kisah benar itu.

“Situasi itu mengubah kehidupan saya termasuk keseluruhan karier seni, malah lebih manis apabila bertemu peminat dari seluruh dunia yang meluah perasaan terinspirasi mereka terhadap diri Elle.”

Bertarikh 13 Julai 2001 sebagai tayangan sulung di pawagam, filem garapan Robert Luketic itu turut diserikan dengan barisan pelakon lain seperti Selma Blair, Luke Wilson, Jennifer Coolidge, Ali Larter dan Victor Garber.

Berkongsi informasi, filem berdurasi 96 minit edaran MGM Distribution Co. itu kemudian muncul dengan sekuel Legally Blonde 2: Red, White & Blonde pada tahun 2003.

Nampaknya peminat ada alasan tersendiri untuk menyaksikan kemunculan semula Elle ditambah Reese pernah menghebahkan di media sosial tentang penggambaran Legally Blonde 3 pada 2018.

Instagram: @reesewitherspoon
#Hollywood #Filem #Elle #Legally Blonde #Reese Witherspoon
;