Bas mini akan membuat kemunculan semula di ibu negara bermula bulan depan selepas 21 tahun ditamatkan operasinya.

Rapid KL akan mengadakan perkhidmatan bas mini percubaan dari hab Bukit Indah ke Ampang Point, menerusi Jalan Rasmi dari 1 September sehingga 29 November.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Muhammad Yazurin Sallij berkata, bas mini itu boleh membawa 31 penumpang di dalam setiap bas, akan beroperasi dengan kekerapan 15 minit (waktu puncak) dan 25 minit (luar waktu puncak) dari jam 5.30 pagi hingga jam 11.40 malam.

“Ini sebahagian daripada inisiatif Rapid Bus untuk memberi perkhidmatan lebih baik dan kerap kepada penumpang kami,” katanya.

Diperkenalkan pada tahun 1975, perkhidmatan bas mini ditamatkan pada 1998 selepas pihak berkuasa menggabungkan perkhidmatan pengangkutan awam di ibu negara.

Bas comel dengan warna gabungan putih dan merah jambu itu menjadi kegemaran warga Lembah Klang kerana ia menjadi pengangkutan awam paling murah pada waktu itu.

Dengan kembalinya bas mini, pasti ia mengembalikan nostalgia rakyat Malaysia yang pernah menggunakan perkhidmatan ini satu ketika dahulu.