Selepas 3 Minggu, Masih Belum Ada Keputusan Kes Nikah Neelofa - “Kertas Siasatan Diserahkan Kembali…”

Hanafis Haris
April 18, 2021 02:18 MYT

Kes berhubung majlis pernikahan pengacara dan usahawan Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, pendakwah Pencetus Ummah (PU) Riz yang dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) masih belum selesai.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, pihak Timbalan Pendakwah Raya telah mengembalikan kertas siasatan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Jelasnya, kertas siasatan telah dihantar kembali kepada kami dengan beberapa arahan mengenai tindakan yang harus diambil.

"Kami akan menyerahkan kembali kepada DPP untuk tindakan selanjutnya minggu depan," ujarnya menerusi laporan The Star.

Sementara itu menerusi pemantauan Gempak di Twitter, kebanyakan netizen bingung kerana kes masih belum ada keputusan biarpun majlis tersebut telah berlangsung lebih tiga minggu..

Rata-rata mereka membandingkan kes tersebut dengan kes pelanggaran SOP lain yang mana kompaun lebih pantas dikeluarkan.

Sekadar info, pada 13 April lalu, polis mencadangkan kompaun dikeluarkan kepada pasangan itu kerana gagal mengikut SOP yang ditetapkan ketika acara itu berlangsung.

Polis membuka kertas siasatan selepas timbul kekecohan bahawa majlis pernikahan mereka yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur gagal mematuhi SOP dan tiada penjarakan fizikal.

Sebelum itu juga, pihak keluarga pasangan berkenaan telah hadir di IPD Dang Wangi untuk membantu siasatan pihak berkuasa.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Neelofa dan Riz diijabkabul pada 27 Mac lalu di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur.

#Kahwin #Neelofa #Wedding #SOP