Laman Utama

Selepas 38 Tahun, Hero & Dewi Remaja Kini Bergabung! Scha Alyahya Pula Dipilih Sebagai Hos

gempak
Mya Amri
31/10/2023
10:45 MYT
Sponsor Banner
Selepas 38 Tahun, Hero & Dewi Remaja Kini Bergabung! Scha Alyahya Pula Dipilih Sebagai Hos
Hero Remaja & Dewi Remaja merupakan sebuah jenama yang sudah pun mencecah usia 38 tahun sejak penganjurannya.
Edisi terbaharu musim ini menyuntik sedikit kelainan, kedua-dua pertandingan digabungkan serentak dan digelar Hero Dewi Remaja 2023.
Setelah dua bulan berlalu sejak sesi uji bakat dilangsungkan, 16 orang finalis terkini telah pun diumumkan.
Selebriti popular yang juga juara Dewi Remaja 2005/06, Scha Alyahya kembali sebagai mentor serta juri tetap untuk edisi kali ini setelah kali terakhir beliau menjadi juri tetap adalah pada edisi Hero Remaja 2021.
Pemilihan Scha Alyahya dianggap tepat kerana beliau merupakan seorang selebriti serba boleh dan terkenal serta merupakan antara alumni Dewi Remaja paling berjaya.
Pemilihan 16 orang finalis (8 lelaki & 8 perempuan) pada edisi kali ini dilakukan dengan sangat teliti mengambil kira potensi dan bakat yang mereka tonjolkan ketika proses uji bakat dijalankan.
Finalis wanita adalah Adrina (24, Kelantan), Myra (24, Kedah), Cora (23, Sabah), Arabella (18, Pahang), Azqa (23, Sabah), Amira Rafik (23, Selangor), Qist (22, Kelantan) dan Nurel (21, Sarawak).
Finalis lelaki pula adalah Fitri (24, Kuala Lumpur), Azri Safix (22, Kuala Lumpur), Hakim (22, Selangor), Razin Qidran (24, Kuala Lumpur), Jaysong (21, Kuala Lumpur), Evertts (25, Sabah), Jay (18,Selangor) dan Aiman Ameer (23, Johor).
Menurut Ketua bahagian New Gen dan Men & Hobbies, Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Fiezreen Ahmad, pencarian Hero Dewi Remaja 2023 dijangka akan memberi impak berbeza disebabkan kelainan yang dipersembahkan buat julung kalinya dalam sejarah penganjuran jenama ini.
“Sepanjang penganjurannya selama lebih 38 tahun, ramai permata industri seni dilahirkan.
“Antara generasi baharu pertandingan ini yang kini menjadi bualan hangat seperti Nadhir Nasar, Meerqeen, Anna Jobling, Shaza Bae, Mierul Aiman, Amir Ahnaf dan Tracie Sinidol.
“Meneruskan legasi ini, sepanjang uji bakat diadakan, para peserta telah diuji dari pelbagai aspek antaranya personaliti diri, bakat, pengetahuan am dan gaya komunikasi.
“Bagi kami ini sangat penting untuk melahirkan bintang yang siap untuk industri dan boleh menjadi contoh yang baik kepada remaja di luar sana.
“Mereka bukan sekadar anak seni namun harus memiliki pandangan dan jati diri yang utuh apabila berada di khalayak ramai.
“Apa yang menarik, edisi kali ini menyaksikan kelainan menerusi gabungan Hero dan Dewi dalam satu edisi.
“Semestinya bakal memberikan perspektif baharu dengan tampilan kandungan yang lebih segar selari dengan misi untuk melahirkan anak seni berpotensi tinggi dan membentuk personaliti terbaik.
“Diharapkan finalis tahun ini memberikan usaha mereka sepenuhnya dalam perjalanan bergelar juara.
“Selain penampilan mereka selama lapan episod di kaca televisyen menerusi Astro Ria, para finalis juga akan ditampilkan di setiap platform media sosial Majalah Remaja menerusi pelbagai kandungan dan aktiviti yang bakal diadakan.
“Menariknya kami akan turut memberi peluang kepada para peminat mereka kelak untuk menyertai aktiviti yang telah kami susun,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari berkata, Astro Ria teruja untuk mempersembahkan Hero Dewi Remaja 2023 iaitu gabungan dua jenama pencarian Hero dan Dewi terkemuka yang diterjemah ke dalam edisi terbaharu menerusi kerjasama Astro dan Nu Ideaktiv.
“Selaku penyiar rasmi program realiti ‘Hero Dewi Remaja 2023’, kami ingin menampilkan pembaharuan yang bertepatan dengan golongan remaja masa kini, khususnya dengan memperkenalkan 16 Hero dan Dewi yang dipilih sebagai model peranan untuk menonjolkan bakat dan kebijaksanaan mereka kepada para penonton.
“Terdapat pelbagai pengisian menarik dan bermanfaat telahpun disusun untuk menghiasi tugasan dan cabaran agar kami dapat mempersiapkan Hero dan Dewi ini dengan ilmu yang relevan dan boleh diterapkan di dalam kehidupan mereka.
“Pastinya, Hero dan Dewi ini bakal memikat hati penonton dan mengumpul kelompok peminat dengan bakat dan kebolehan mereka yang terpendam.
“Sebagai tambahan, Hero dan Dewi ini juga bakal menyerikan barisan selebriti-selebriti di bawah naungan Rocketfuel Entertainment.
“Kami berharap semoga penganjuran Hero Dewi Remaja pada tahun ini menjadikan Astro sebagai platform pencarian bakat komersial yang utuh sekaligus meletakkan Astro sebagai destinasi utama dalam menghasilkan bakat baharu industri hiburan tempatan,” ujarnya.
Untuk pengetahuan, kesemua finalis telah dipilih menerusi empat sesi uji bakat yang dilangsungkan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Petaling Jaya.
Penganjuran uji bakat Hero Dewi Remaja 2023 telah menerima penyertaan lebih daripada 850 peserta.
Menariknya, sepanjang empat minggu uji bakat berlangsung, siaran video di media sosial telah berjaya mencapai lebih 30 juta tontonan.
Pencarian Hero Dewi Remaja 2023 bakal ditayangkan menerusi lapan episod bermula 10 November, setiap Jumaat, jam 10 malam di Astro Ria (saluran 104).
Selain bertanding menerusi cabaran episod yang ditayangkan, 16 finalis terpilih juga bertanding dari aspek populariti serta duo terbaik menerusi undian peminat yang dibuka bermula 10 November sehingga ke malam finale kelak untuk mengetahui siapakah yang akan bergelar Hero dan Dewi Favourite 2023 serta Best Chemistry Duo.
Undian boleh dilakukan pada setiap hari di laman web rasmi REMAJA di https://www.remaja.my/herodewi/
Pertandingan Hero Dewi Remaja 2023 ini merupakan kerjasama di antara Nu Ideaktiv Sdn Bhd selaku penganjur dan Astro Ria selaku penyiar rasmi.
Siapakah yang bakal meneruskan legasi HERO REMAJA dan DEWI REMAJA yang disandang oleh juara terdahulu? Sama-sama kita nantikan!
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024