Selepas hampir empat tahun, penyanyi Datuk Nora Ariffin kembali bergelar isteri apabila dia mengesahkan sudah berkahwin.

Berita gembira itu dikongsi Nora menerusi satu hantaran di Instagramnya,

Menurut Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Ariffin, dia kini bergelar isteri kepada Dr Rushdi Ramli.

“Dengan nama Allah Yang Maha pemurah Lagi Maha Mengasihani.

“Bersempena dengan malam Jumaat yang merupakan Sayyidul Ayyam, saya dengan rendah hati dan bersyukur ke hadrat Allah SWT ingin memaklumkan bahawa saya kini telah bertemu jodoh dengan seorang hamba Allah yang merupakan sahabat baik arwah Johan sejak dari kecil lagi.

“Beliau adalah saudara Rushdi Ramli,” katanya.

Jelasnya, dia juga ingin memohon maaf kerana tidak memberitahu secara terbuka ikatan tersebut.

“Saya ingin meminta maaf kerana dari awal lagi saya memang berniat untuk tidak menghebah-hebahkan ikatan ini.

“Cukuplah sekadar melaksanakan perkara wajib dan mengikut hukum sahaja.

“Saya berpegang pada prinsip bahawa perkahwinan adalah satu ibadah dan ianya terlalu peribadi untuk saya kongsikan, bukan ingin bermegah-megah, jauh sekali untuk mencari publisiti.

“Jodoh, rezeki dan ajal adalah rahsia Allah yang telah ditentukan.

“Saya menerimanya dengan penuh sabar, redha dan syukur. Hanya kebaikan yang saya harapkan,” tulisnya.

Difahamkan, Dr Rushdi merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan berusia 55 tahun.

Sekadar info, Nora sebelum ini mendirikan rumah tangga bersama Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Walau bagaimanpun arwah suaminya meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.

Pada 13 Disember 2019, Nora sekali lagi diuji dengan pemergian anak kedua, Muhammad Syakir Aliff yang ketika itu berusia 20 tahun.

A post shared by DATUK NORA ARIFFIN (@itsnoraariffin)