Hiburan
Selepas 5 Tahun Berkahwin, Nana Al Haleq Kembali Solo
Pengacara dan selebriti kecergasan popular, Nana Al Haleq kembali solo selepas bercerai dengan bekas suaminya yang dikenali dengan nama Aleq.
Pengacara rancangan bual bicara The Feel Good Show ini berpisah dengan bekas suaminya pada awal tahun lalu.
"Sejujurnya, saya dan bekas suami telah membawa haluan masing-masing pada Februari 2018. Selepas 10 tahun bercinta dan lima tahun mendirikan rumah tangga, penceraian menjadi jalan terbaik.
"Selepas kami berusaha untuk memperbaiki keadaan, kami tetap menemui jalan buntu... Akhirnya, saya reda perkahwinan ini tak dapat dipertahankan.
"Apa yang terjadi bukan mudah untuk saya tempuhi. Sebab itu, saya mendiamkan diri selama lebih setahun mengenai status diri saya. Persefahaman itu tidak lagi wujud," katanya.
Nana ditemui di majlis pelancaran Rexona Whitening Fresh Rose Launch di The Grounds, Petaling Jaya baru-baru ini.
Tambah Nana, buat masa sekarang, dia mahu memberikan fokus terhadap kariernya.
"Alhamdulillah, perjalanan karier saya berlangsung dengan baik dan saya menerima pelbagai peluang untuk mengembangkan bakat, baik dari segi pengacaraan serta dunia kecergasan.
"Buat masa ini, saya mahu memberikan fokus terhadap kerjaya dan saya memohon doa yang baik-baik dari semua pihak," katanya lagi.
Nana dan Aleq mendirikan rumah tangga pada 12 Disember 2012 selepas 10 tahun menyemai cinta.
Sepanjang lima tahun berkahwin, mereka tidak dikurniakan anak.