Berita
Selepas 6 Tahun, Sharnaaz & Nelydia Muncul Lagi! Kali Ini Dalam Versi Filem Jebat
Kira-kira enam tahun lalu, drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta pernah menjadi antara karya yang mencuri tumpuan penonton di kaca televisyen.
Bahkan, sehingga kini, naskhah itu merupakan antara drama yang mencatatkan jumlah tontonan yang tinggi di saluran Astro Mustika.
Istimewanya, karya yang mengangkat lakonan Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose itu kini bakal menemui penonton sekali lagi.
Menariknya, kali ini, gandingan mereka bakal dipersembahan dalam bentuk filem pula bermula 3 September depan di Astro First.
Mengangkat watak Jebat lakonan Sharnaaz sebagai judul filem, karya berkenaan masih mendapat sentuhan pengarah terkenal, Jamal Khan.
Lebih mengujakan, filem Jebat nanti juga akan menampilkan beberapa watak baharu yang menampilkan lakonan daripada Idris Khan, Peter Davis, Carmen Soo, Rahim Buang, Sangeeta Krisnasamy dan Louisa Chong.
Jebat mengisahkan seorang bekas ketua gangster (lakonan Sharnaaz) yang telah bertaubat dan cuba hidup sebagai orang biasa dengan bekerja sebagai penternak ikan dan berkahwin.
Bagaimanapun, seterunya dalam kumpulan gangster masih mengganggu hidup baharunya.
Jebat terpaksa berdepan dengan konco-konco gangster tersebut demi menyelamatkan insan tersayang di sekelilingnya.
Pada masa sama Jebat cuba menyembunyikan kehidupan lampaunya sebagai kaki gangster daripada isteri (Nelydia Senrose) tercintanya.
Nak tahu apa yang terjadi kepada mereka berdua? Jangan lupa saksikan filem Jebat di pawagam rumah anda menerusi Astro First saluran 480 bermula 3 September 2020.
Bagi mendapatkan info terkini mengenai Jebat, sila layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw.
Must-Watch Video