Selepas 7 Tahun, Nadiyah Shahab Berjaya Tamatkan Pengajian Undang-Undang

Zulaikha Yusof
Januari 13, 2020 01:26 MYT
Aktres dan usahawan Nadiyah Shahab akhirnya berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan Undang-Undang (Second Class Honors In Law Degrees) dari Universiti Of London.
Jelas Nadiyah, pengajian tersebut sepatutnya berlangsung selama empat tahun namun telah berlanjutan sehingga tujuh tahun disebabkan pelbagai komitmen.
"Hari ini milik seluruh ahli keluarga saya. Ibu, keluarga, kawan-kawan dan suami saya yang sentiasa menyokong saya dalam setiap keputusan yang saya buat.
"Saya mengambil masa tujuh tahun untuk menamatkan apa yang sepatutnya tamat dalam masa empat tahun.
"Tapi dalam masa tujuh tahun itu, saya buka sebuah syarikat, mula ceburi bidang peragaan, mengacara, berlakon malah saya juga berkahwin!
"Saya tidak akan mempunyai semua perkara ini jika saya tidak benarkan ia terjadi secara semulajadi," tulisnya.
Nadiyah berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.
Tambah isteri kepada aktor Ben Ali ini, dia mendedahkan dirinya terpaksa menolak beberapa tawaran bekerja disebabkan kekangan masa.
"Walaupun dalam kesulitan, terpaksa menolak beberapa tawaran bekerja disebabkan jadual yang tidak masuk akal, perlu ulang alik ke Singapura setiap bulan untuk kumpul nota untuk semua kelas yang saya tinggalkan, terlepas parti dan acara disebabkan saya fokus untuk belajar selama beberapa minggu.
"Sejujurnya saya tidak ada cara lain, apa yang saya cuba sampaikan ialah berjaya mengikut masa anda dan kena sentiasa berusaha.
"Sebabnya, perjalanan hidup kita sudah tertulis dengan indah dan hanya menunggu untuk melaluinya dengan meletakkan kepercayaan pada Allah. Saya terlalu bersyukur. Alhamdulillah," tulisnya lagi.
Nadiyah dan Ben mendirikan rumah tangga pada 11 November 2018.
#Nadiyah Shahab #Undang-Undang