Selepas Amy Search, Bunkface Pilih Datuk Jeffrydin

Amri Hassan
September 13, 2017 10:00 MYT
Selepas memilih Amy Search, kumpulan Bunkface menyatakan hasrat untuk melamar penyanyi popular pop yeh yeh, Datuk Jeffydin untuk berkolaborasi dalam salah satu lagu untuk album terbaharu mereka.
Album tersebut dijangka keluar pada tahun hadapan akan memuatkan 10 buah dan salah satu lagunya mempunyai pengaruh pop yeh yeh.
Menurut Sam, 30, mereka bagaimanapun belum berbincang secara serius untuk kolaborasi tersebut.
"Ketika kami mendengar lagu itu, satu-satunya penyanyi yang terbayang dalam fikiran kami ialah tidak lain dan tidak bukan Datuk Jeffrydin.
"Tempo muzik itu kami rasakan sangat sesuai dengan identiti muzik Datuk Jeffrydin," katanya yang ditemui di studio rakaman BF Rock Station di Subang Jaya hari ini.
Dalam perkembangan lain, Bunkface telah melancarkan single terbaharu berjudul Kembalii.
Single itu dipetik daripada album ketiga Bunkface, Malam Ini Kita Punya tiga tahun lepas namun diberikan nafas baharu dengan gubahan muzik lebih segar dan terkini.
"Lagu Kembalii digubah semula sebanyak 50 peratus menjadi lebih santai dan moden.
"Penambahan angka roman 'i' pada hujung single itu pula menandakan lagu itu sebagai edisi kedua," tambahnya.
Sementara itu, muzik video lagu Kembalii yang telah menjalani penggambaran di Gunung Bromo, Indonesia akan dilancarkan pada hari Jumaat ini.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @bunkfaceband
#Bunkface #Datuk Jeffrydin