Penyanyi Amira Othman menyatakan hasrat untuk merakamkan lagu berkonsep ketuhanan sepulangnya dari mengerjakan ibadah haji Ogos lalu.

Jelas Amira, 25, dia inginkan lagu terbabit diterima secara santai dan menyeluruh terutama generasi muda.

"Sebagai seorang penyanyi saya punyai satu impian untuk merakamkan sebuah lagu berkonsep ketuhanan suatu masa nanti.

"Biarlah sedikit sebanyak lagu itu boleh menyampaikan dakwah kepada orang ramai dan bait-bait lirik positif akan memberikan impak kepada pendengar terutama generasi muda," katanya kepada Gempak.

Amira yang muncul dengan single terbaharu berjudul Takkan Merubah bergandingan bersama Sufian Suhaimi mengharapkan lagu itu bakal meninggalkan kesan tersendiri kepada pendengar.

"Saya sendiri tak sangka akan ada lagu duet bersama Sufian.

"Apapun, saya tak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi cuma berharap lagu ini akan mendapat tempat di hati pendengar," tambahnya.

Lagu Takkan Merubah merupakan karya ciptaan Farouk Roman dan Amylea dan dimuatkan sebagai runut bunyi filem Motif lakonan Sharifah Amani dan Datuk Rosyam Nor.