Bintang GegarVaganza musim ketiga, Zarul Umbrella mendedahkan dia semakin sibuk dengan kerjaya seninya selepas meletakkan jawatan sebagai pramugara.

“Saya semakin sibuk dengan kerjaya. Setakat ini, semuanya semakin menggalakkan. Apa yang penting, saya gembira dengan situasi sekarang.

“Alhamdulillah, apa yang saya rancang dan jangkakan setakat ini menjadi kenyataan. Cuma saya harus kekalkan momentum saya agar dapat terus bernafas dan mencari rezeki dalam bidang nyanyian,” kata Zarul kepada Astro Gempak.

Bakal membintangi Cik Serba Tahu, drama bersiri ini menjadi tanda kemunculan pertama Zarul dalam bidang lakonan.

“Berlakon merupakan sesuatu yang baru bagi saya dan saya masih dalam proses pembelajaran. Saya sendiri tidak meletakkan sebarang harapan dan jangkaan untuk lakonan saya menjadi mantap seperti pelakon lain tetapi saya banyak belajar.

“Setiap hari berada di set penggambaran, ada sahaja perkara baru saya pelajari. Menjadi seorang pelakon merupakan satu cabaran yang baru buat saya. Drama bersiri Cik Serba Tahu ini menggandingkan saya bersama Remy Ishak, Sari Yanti dan ramai lagi,” katanya ketika ditemui selepas majlis tayangan filem Surga Yang Tak Dirindukan 2 (SYTD2) di GSC Pavilion pada Selasa.

SYTD 2 merupakan filem arahan Hanung Bramantyo yang dibintangi oleh Laudya Cynthia Bella, Raline Shah, Fedi Nuril, Reza Rahadian dan pelakon dari Malaysia, Nora Danish.

Filem SYTD 2 juga bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia pada 16 Februari ini. Filem pertama SYTD ini juga boleh ditonton menerusi portal Astro Gempak. [[KLIK DI SINI UNTUK MENONTON]]

Teks oleh: Kamaruddin Razal