Hiburan
Selepas Berkahwin, Elfira Loy Kembali Aktif Berlakon
Memulakan lembaran tahun 2019 sebagai seorang isteri, kehidupan pelakon Elfira Loy, 25, semakin bahagia.
Sudah lama tidak muncul dengan sebarang produk di kaca televisyen, pemilik nama sebenar Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri ini mahu kembali aktif dalam bidang lakonan.
"Alhamdulillah, selepas bergelar isteri dan berkahwin, saya mahu kembali berlakon. Sudah lama saya tak aktif dalam bidang lakonan. Insya-Allah, tahun ini saya akan kembali memeriahkan kaca televisyen.
"Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran untuk drama bersiri Salam Geng. Apa yang menariknya, menerusi karya ini, saya bekerjasama dengan kanak-kanak.
"Ia sedikit sebanyak mengingatkan saya memori lama di awal kemunculan saya sebagai seorang artis.
"Saya muncul sebagai pelakon kanak-kanak dan dari situ segalanya bermula. Sekarang, saya pula bekerjasama dengan pelakon kanak-kanak," katanya.
Elfira ditemui usai majlis pertunjukan fesyen Hari Raya 2019 jenama Alhumaira yang diadakan di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur pada Isnin.
Di majlis terbabit, isteri kepada Muhammad Faris Khairol Anuar ini turut diumumkan sebagai wajah baru koleksi Hari Raya 2019 serta duta jenama Alhumaira.
"Saya memang penyokong jenama ini semenjak mula berhijab. Alhamdulillah, tahun ini saya berpeluang untuk bekerja bersama mereka.
"Saya gembira meraikan ulang tahun ke-9 Alhumaira menerusi koleksi ‘Expectation’ dan Hari Raya 2019.
"Koleksi ‘Expectation’ menampilkan 10 koleksi berlainan dengan citarasa dan gaya minimalis dan koleksi Alhumaira Hari Raya 2019 mempamerkan sisi berlainan berbanding ciri elegan dan ringkas yang dibawa oleh jenama ini sebelumnya," kata Elfira.
Harga bermula daripada RM59 sehingga RM99 sehelai, koleksi Alhumaira boleh didapati secara online di www.alhumaira.com, butik di Shah Alam, Bangi dan Alor Setar dan semua ejen sah di Brunei, Singapura dan Thailand. Ikuti laman Instagram rasmi mereka di @alhumairacontemporary untuk lebih banyak lagi trend hijab dan rekaan terbaru.