Berita
Selepas BLACKPINK, Pengajur Berhasrat Bawa BTS Ke Malaysia!
Selepas kejayaan menganjurkan konsert Jelajah Dunia BLACKPINK 2019 – In Your Area, penganjur konsert MacpiePro berhasrat membawa pula kumpulan sensasi Korea Selatan, BTS ke Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif MacpiePro, Ang Chee Ciang berkata pihaknya masih dalam proses perancangan sebelum sebarang rundingan untuk menjemput kumpulan K-pop ternama dunia itu dilakukan.
“MacpiePro memang berharap dapat membawa BTS menemui peminat di Malaysia tetapi tiada yang pasti buat masa ini.
“Kita perlu merancang terlebih dahulu sebelum membuat sebarang rundingan untuk menjemput kumpulan itu.
“MacpiePro sedang berbincang dengan syarikat pengurusan artis Korea terkenal yang lain dan kita berharap dapat menganjurkan konsert mereka di Malaysia untuk memberikan peminat K-Pop konsert yang bagus,” katanya ketika ditemui Astro AWANI sebelum berlangsungnya konsert BLACKPINK di Stadium Malawati.
Ang juga mendedahkan bahawa pihaknya akan menganjurkan Konsert Jalajah Asia GFRIEND dan juga Festival Muzik K-Wave 4 pada tahun ini.
“Kita merancang untuk menganjurkan 20 konsert pada 2019, bukan sahaja konsert K-pop tetapi kita juga memberikan tumpuan kepada M-pop, artis antarabangsa dan tidak dilupakan juga artis-artis tempatan kita.
“Saya tidak dapat mendedahkan banyak maklumat lagi tetapi kita akan menganjurkan konsert GFRIEND pada Jun dan kita dalam perancangan untuk menganjurkan Festival Muzik K-Wave pada September ini,” tambahnya.
Konsert BLACKPINK yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad berjaya menawan hati 14,000 Blinks (nama fandom BLACKPINK) dengan persembahan hampir 20 lagu termasuk ‘Ddu-du Ddu-du’, ‘Kiss and Make Up’, ‘Boombayah’ dan ‘Whistle’.
Sumber: Astro Awani
Must-Watch Video